JASIN - Sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Rakan Bersih Kubur Melaka (RBKM) mengambil inisiatif bergotong-royong membersihkan kawasan perkuburan sebagai persiapan menyambut Ramadan.
Penyelaras program, Muhammad Haris Win Musli Abdullah berkata, walaupun dalam keadaan normal baharu kerana pandemik Covid-19 belum berakhir namun bukan penghalang untuk mereka meneruskan amal jariah yang dapat mengisi saham akhirat sejak persatuan itu wujud akhir tahun 2017.
"Usaha yang kami lakukan ini tidaklah seberapa namun dapat membantu pihak pengurusan kubur memastikan kawasan berkenaan sentiasa bersih.
"Kita turut mengecat batu nisan, belindan atau kepok yang telah uzur sekali gus aktiviti secara santai ini dapat menambahkan pengalaman dalam kalangan ahli baharu yang terdiri daripada golongan muda.
"Kerjasama dengan Majlis Pengurusan Komunti Kampung (MPKK) di sesebuah kawasan dapat mengeratkan hubungan di antara satu sama lain," katanya.
Tambahnya, mereka tidak hanya membersihkan tanah perkuburan sahaja terkecuali memastikan keceriaan masjid di sekitar negeri ini.
Jelasnya, sepanjang RBKM juga merancang pelbagai aktiviti lain seperti iftar bersama golongan kurang bernasib baik dan menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.
"Medium ini dapat mengisi masa lapang anak muda dengan aktiviti yang bermanfaat," katanya.