SHAH ALAM - Gerakan menyingkir Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sebagai wujud dan akan berjaya sekiranya Ahli Parlimen Bagan Datuk itu disabit bersalah dalam kes rasuah dan pecah amanah.
Penganalisis politik, Profesor Dr Wong Chin Huat berkata, persoalan yang lebih menarik ialah bilakah gerakan tersebut berjaya dan siapa yang akan mengambil alih.
"Ada yang harap Ahmad Zahid dipaksa berundur dan diganti Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan) sebelum pemilihan parti.
"Ada juga yang berharap kluster kabinet ambil alih melalui pemilihan parti,” katanya pada Sabtu.
Chin Huat berkata, sekalipun pemilihan parti diadakan, ia akan ditolak kerana penerimaan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bercanggah dengan kepentingan UMNO.
"Sekuat-kuat kluster kabinet menggoyang pokok, durian akan jatuh ke tangan kluster ketiga yang tanpa kes mahkamah dan jawatan persekutuan,” ujarnya.
Sementara itu, Felo Penyelidik, Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia, Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri berpendapat gerakan menjatuhkan Ahmad Zahid tidak berlaku sekiranya pilihan raya tidak berlangsung tahun ini.
Jelasnya, sesiapa sahaja yang menjadi dalang melakukan gerakan tersebut akan bimbang kerana berdepan risiko tidak dipilih semula.
"Menjadi kebiasaan Barisan Nasional (BN) iaitu pengerusinya mengeluarkan watikah calon,” katanya.
Tegasnya, jika ada gerakan sedemikian pada waktu ini, ia tidak datang daripada menteri UMNO atau Majlis Kerja Tertinggi (MKT) itu sendiri.
"Mengikut sejarah yang disebut Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim memang wujud gerakan menjatuhkan presiden,” katanya.
Pada 4 April, media melaporkan Shahidan mendakwa Tajuddin cuba membuat gerakan menjatuhkan Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO pada tahun lalu.