JAKARTA - Kejadian gempa bumi kuat di Jawa Timur selatan pada Sabtu disahkan meragut tujuh nyawa setakat pagi Ahad, selain menyaksikan lebih 800 kediaman dan bangunan runtuh serta rosak teruk.
Menurut Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) Raditya Jati, tiga kematian dilaporkan di Kabupaten Malang sementara empat di Kabupaten Lumajang.
Iklan
Iklan
Hingga kini, BNPB masih mengumpul statistik di 17 kabupaten dan kota di Jawa Timur yang mengalami gegaran bermagnitud 6.7 pada skala Richter pada jam 2 petang Sabtu, berpusat di 90 kilometer barat daya Kabupaten Malang.
Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia turut mencatatkan beberapa gempa susulan bermagnitud rendah masih berlaku di wilayah berkenaan dan terbaharu bermagnitud 5.5 pada skala Richter pada jam 6.54 pagi Ahad.
Kejadian gegaran pada Sabtu itu turut dirasakan di hampir seluruh wilayah Jawa Timur termasuk beberapa kawasan di Jawa Tengah serta Pulau Bali dan Lombok. - Bernama