Nota 'tolong jaga budak ini' ditemui bersama bayi

Iklan
Bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui berserta nota.

GEORGETOWN - Sekeping nota mengandungi tulisan tangan 'tolong jaga budak ini' ditemui bersama seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di hadapan Pusat Perkembangan Kesihatan Keluarga Pulau Pinang di Jetong di sini, pada petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, bayi lelaki yang masih bertali pusat dan dibalut dengan tuala hijau itu ditemui oleh seorang lelaki kira-kira jam 7.40 petang di hadapan pintu pagar pusat berkenaan.

Iklan
Iklan

"Lelaki berusia 43 tahun tersebut ke pejabat berkenaan untuk bertemu dengan rakan-rakan sekerjanya namun ketika keluar untuk menghisap rokok dia melihat seorang bayi terbaring.

"Bayi berkenaan tidak menangis dan satu nota ditemui bersamanya dengan tulisan 'tolong jaga budak ini'. Bimbang bayi berkenaan kelaparan, rakan kepada lelaki tersebut memberikannya susu, kemudian menukar lampin serta pakaiannya sebelum mereka menghubungi polis memaklumkan penemuan itu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Menurut Soffian, pegawai penyiasat menghubungi ambulans dan menyerahkan bayi itu kepada pihak hospital untuk rawatan memandangkan bayi itu kelihatan seperti mengalami 'jaundice' (penyakit kuning) selain memerlukan pemantauan rapi daripada pegawai perubatan.

Tambah beliau, siasatan polis dapat mengesan cap jari pada nota yang ditinggalkan bersama bayi itu namun tiada sebarang cap jari sempurna berjaya ditimbulkan.

Iklan

"Pemantauan di tempat kejadian mendapati kamera litar tertutup (CCTV) tidak berfungsi namun terdapat satu CCTV di sebuah tokong berhampiran dan kita berharap ia mampu membantu siasatan.

"Kita minta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini menghubungi pegawai penyiasat +6019-473 5105 atau melalui WhatsApp rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah Timut Laut di talian 0195641822 atau boleh lapor di balai polis berhampiran," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.