IPOH - Lebih 100 penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) ditugaskan bagi memantau 'port' ponteng puasa dan geng plastik hitam yang telah dikenalpasti di seluruh negeri.
Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, mereka yang dikesan makan di khalayak ramai bakal berdepan denda tidak lebih RM1,000 atau hukuman penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.
"Kita sudah mengenal pasti lokasi yang jadi tumpuan termasuk tiga atau empat kawasan di Ipoh. Kebiasaannya melibatkan kedai yang sama sediakan plastik hitam.
"Pemantauan dilakukan termasuk di kawasan tersorok seperti kubur, taman-taman dan sebagainya. Memang tiada yang mengetahui tetapi tuhan nampak perbuatan itu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program penyampaian pakaian seragam sekolah kepada 100 murid-murid di Dewan Persatuan India Kinta di sini pada Ahad.
Menurutnya, individu berusia antara golongan yang didapati kerap 'ponteng puasa' kerana mengalami ketagihan tidak kira rokok ataupun teh tarik.
Katanya, perbuatan itu dikesan berdasarkan penguatkuasaan yang dijalankan sepanjang Ramadan setiap tahun.
"Majoriti mereka tidak berpuasa adalah mereka yang sudah berumur. Alasan yang diberikan adalah lapar, uzur, ketagihan rokok terutamanya selain tabiat untuk menikmati teh tarik dan roti canai.
"Kita nasihatkan mereka untuk bertaubat, jangan kerana dahaga teh tarik jadi asbab untuk buka puasa. Memalukan apabila bapa ditahan tetapi anak berpuasa," katanya.
Mohd Yusop berkata, pemilik restoran dan peniaga juga dinasihatkan tidak bersubahat menyediakan ruangan tersembunyi sebaliknya sama-sama berdakwah.
"Peniaga muslim perlu sama-sama bertanggungjawab berdakwah dengan bertanya makanan untuk siapa dan beri peringatan sewajarnya.
"Selain penguat kuasa yang menjalankan rondaan, kita menerima maklumat daripada mereka yang prihatin. Sebagai umat Islam, sama-samalah kita menjaga maruah diri dan imej agama sepanjang Ramadan," katanya.