Bandar Belia Tanjung Malim diteruskan

Iklan
Saarani

IPOH - Pembangunan Bandar Belia di Tanjung Malim akan diteruskan selepas tertangguh pada tahun 2018 kerana tidak diteruskan kerajaan Pakatan Harapan.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pembangunan tersebut akan turut melibatkan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Iklan
Iklan

Menurutnya, NCIA sudah mempunyai perancangan bagi pembangunan tersebut selain peruntukan yang telah disediakan.

"Secara kebetulan sekarang ni kita lihat di Selangor pun dah padat, maka mereka pun dah berpindah perusahaan dan industri di sempadan Perak - Selangor.

Iklan

"Jadi kita ambil kesempatan itu untuk bangunkan kembali Perak Selatan dan sekaligus memberi perhatian untuk meneruskan usaha menjadikan kawasan Tanjung Malim itu sebagai Youth City," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Dewan Belia Negeri Perak dan Majlis Apresiasi Sukarelawan Belia Perak di Ipoh pada Ahad.

Saarani berkata, bagi tujuan itu, urusetia belia dan sukan Perak bersama Ahli Dewan Belia Perak dapat berbincang bagi membentuk pengisian seterusnya untuk bandar berkenaan.

Iklan

Pada September 2015, kerajaan persekutuan secara rasmi mengumumkan penubuhan Bandar Belia pertama negara di Tanjung Malim.

Dalam perkembangan lain, Saarani meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memastikan proses pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun berjalan lancar tanpa sebarang rungutan mengenainya.

Beliau berkata, proses itu hanya boleh dilaksanakan sekiranya SPR benar-benar bersedia dan tidak dibuat secara tergopoh gapah kerana ia melibatkan peruntukan undang-undang.

"Tujuannya untuk kita memberi peluang, pengiktirafan kepada mereka yang berusia 18 tahun kerana di seluruh dunia pun sudah ada negara-negara yang merasakan bahawa pada usia 18 tahun mereka telah matang untuk membuat keputusan.

"Pada saya sama ada nak disegerakan ataupun tidak,ia sudah ada undang-undang. Cuma dari segi pelaksanaan kena ambil kira supaya jangan ada rungutan setelah ia dilaksanakan," tamat.

Pada 25 Mac lalu, SPR dalam kenyataannya memaklumkan pelaksanaan Undi 18 ditangguh atas alasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan SPR untuk pelaksanaannya.

Pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik hanya dapat dibuat menjelang 1 September 2022, iaitu penangguhan melebihi satu tahun daripada sasaran ditetapkan sebelum ini iaitu pada Julai tahun ini.