SHAH ALAM - Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menyifatkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mungkin melanggar Akta Polis jika benar ada campur tangan dengan arahan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung pertukaran pegawai kanan polis.
Presidennya, Brigadier Jeneral (B) Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, laporan berita yang mendakwa Hamzah campur tangan dengan arahan berkenaan sangat membimbangkan.
"Sekiranya dakwaan itu benar, maka Menteri Dalam Negeri telah mencampuri dan bercanggah dengan perintah KPN dan melampaui batas kuasanya.
"KPN mempunyai hak prerogatif dalam arahan dan kawalan dalam pasukan polis dan semua pegawai di bawahnya. Ia termasuk tindakan disiplin dan pertukaran pegawainya,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Abdul Hamid sebelum ini dilaporkan mengesahkan arahan penangguhan pertukaran pegawai kanan seperti yang tular di media sosial.
Beliau berkata, arahan tersebut dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri pada saat-saat akhir membabitkan pertukaran jawatan Ketua Polis.
Mengulas lanjut, Mohamed Arshad berkata, Seksyen 4 (1) Akta Polis 1967 memberi kuasa kepada KPN dalam 'kawalan dan arahan pasukan dan semua orang lain yang dilantik atau digunakan untuk tugas-tugas polis dan hendaklah mempunyai semua kuasa yang diberi kepada seorang pesuruhjaya atau seorang Ketua Pegawai Polis'.
"Akta Polis sangat jelas mengenai kuasa KPN dalam pengendalian tatatertib yang dapat dilakukan.
"Pemindahan pegawai dengan alasan disiplin adalah di bawah bidang kuasanya,” katanya.
Mohamed Arshad berkata, berbanding dengan Suruhanjaya Pasukan Polis yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri mempunyai bidang kuasa berhubung disiplin dan pemindahan sekiranya tidak ada undang-undang lain yang merangkumi perkara berkenaan.
"Akta Polis memberikan kuasa itu kepada KPN. Oleh itu, Patriot merasakan tidak ada ahli politik termasuk menteri dalam negeri yang boleh campur tangan dalam kuasa KPN untuk mendisiplinkan dan memindahkan anak buahnya,” katanya.
Mohamed Arshad turut menegaskan, usaha untuk menggagalkan perkara yang dilakukan oleh KPN untuk membersihkan imej pasukan polis dianggap sebagai sabotaj dan bertentangan dengan kehendak rakyat.