KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menafikan pihaknya akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri itu bermula pada 14 April ini seperti ditularkan di media sosial.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan berkaitan perkara tersebut.
"Buat masa ini...pada tarikh hari ini, dengan mesyuarat (jawatankuasa Covid-19) kita tidak mengumumkan untuk PKP," katanya kepada pemberita pada Ahad.
Menurutnya, pelaksanaan PKP hanya boleh diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Tambah beliau, laporan semasa Covid-19 di Kelantan sentiasa dihantar kepada MKN untuk tindakan lanjut.
Dr Izani berkata, seandainya MKN meneliti keadaan semasa Covid-19 dan jika ada peningkatan kes luar biasa kerajaan negeri akan menyerahkan perkara itu kepada agensi berkenaan untuk membuat keputusan.
Katanya, Kelantan akan berusaha sebaik mungkin untuk memutuskan rantai penularan Covid-19.
"Saya harap rakyat dapat ambil serius perkara ini dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP)," katanya.