KAMPAR - [DIKEMASKINI] Aktiviti riadah guru bersama tiga bekas pelajarnya bertukar tragedi apabila seorang remaja lelaki ditemukan lemas di Air Terjun Batu Berangkai di sini pada Ahad.
Mayat Mohamad Faiezal Naim Abu Bakar, 18, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat di bahagian dasar air terjun dengan kedalaman 2.4 meter pada jam 4.38 petang.
Difahamkan, lepasan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdullah, Chederong Balai itu datang ke kawasan rekreasi berkenaan untuk berenang.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, berdasarkan temubual, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 3.40 petang ketika keempat-empat mereka sedang berenang.
"Guru berusia 27 tahun cuba membantu ketika mangsa lemas tetapi gagal kerana ditarik arus air dan mangsa terus hilang dari pandangan.
"Pasukan penyelamat terdiri daripada bomba dan polis mula menjalankan pencarian pada jam 4.15 petang dan mangsa ditemui kira-kira 23 minit kemudian di dasar air," katanya.
Menurutnya, Penolong Pegawai Perubatan Hospital Kampar yang tiba mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat dan mendapati punca kematian adalah lemas.
"Mangsa merupakan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Sementera itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 3.55 petang.
Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 5.06 petang.