GP Malaysia: Atlet belum capai prestasi sebenar

Iklan
Mohd Manshahar

PRESTASI kurang memberangsangkan atlet olahraga negara terutama dalam acara trek pada Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia tidak mencerminkan keseluruhan usaha dilakukan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menjelang Sukan SEA 2021 di Vietnam, hujung tahun ini.

Ketua Jurulatih Olahraga Kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata, kejohanan selama dua hari itu telah memberi ruang kepada barisan jurulatih membuat penilaian prestasi atlet dalam merencanakan perancangan strategik pada masa akan datang.

Iklan
Iklan

Menurut Mohd Manshahar, kejohanan disertai 121 atlet seluruh negara terdiri daripada atlet program Podium, pelapis dan atlet negeri di luar program olahraga kebangsaan turut menjadi platform terbaik untuk mereka kembali bersaing menguji prestasi selepas lebih setahun tidak beraksi susulan impak pandemik Covid-19.

"Pada saya ada pencapaian sangat baik dan saya tidak rasa bimbang dengan prestasi atlet kerana kita dapat lihat apa yang perlu kita lakukan untuk langkah seterusnya,” katanya di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) di sini pada Ahad.

Iklan

Pada kejohanan tersebut, acara padang paling mencuri tumpuan selepas dua rekod kebangsaan baharu dilakar masing-masing menerusi Grace Wong dalam acara baling tukul besi wanita dengan catatan 62.48 meter (m) dan Queenie Ting Kung Ni bagi acara lempar cakera wanita dengan lemparan sejauh 48.56m.

Sementara bagi acara trek terutama 100m yang tidak disertai beberapa nama besar antaranya raja pecut Asia Tenggara Muhammad Haiqal Hanafi dan pemegang rekod kebangsaan Khairul Hafiz Jantan gagal dimanfaatkan atlet kebangsaan dari Sarawak, Jonathan Nyepa yang sekadar meraih perak.

Iklan

Bagaimanapun, Mohd Manshahar menjangkakan prestasi sebenar atlet pecut kebangsaan akan dipamerkan ketika Kejohanan Terbuka Malaysia pada 11 hingga 13 Jun depan, yang menjadi antara platform kelayakan ke temasya Sukan Olimpik di Tokyo dan Sukan SEA 2021.

"Mungkin kapasiti mereka pada kali ini belum mencapai prestasi sebenar. Saya pasti jurulatih yang menyediakan atlet ini ingin mengelakkan kecederaan kerana intensiti acara ini sangat tinggi,” jelasnya.

Mohd Manshahar berkata, beberapa perancangan sedang dirangka KOM termasuk menghantar atlet bertanding dalam kejohanan jemputan serantau dan Eropah. - Bernama