SHAH ALAM - Seramai 800,000 penjawat awam masih menerima gaji bulanan di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2021 RM2,208.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, berdasarkan hasil kaji selidik yang dilakukan, satu isi rumah membelanjakan sebanyak RM5,000 setiap bulan.
"Ini berdasarkan tiga fokus pendapatan yang merupakan perbelanjaan perumahan, perbelanjaan pengangkutan dan keperluan harian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Tambah beliau, kerajaan juga perlu memberi penekanan dalam penetapan kadar gaji minimum sebanyak RM1,800 sebulan dan menyemak semula Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang diguna pakai oleh perkhidmatan awam.
"Ini merangkumi gaji permulaan RM1,800, elaun sara hidup (Cola) RM300, imbuhan perumahan RM300 dan elaun perkhidmatan awam RM110.
"Hasil daripada pendapatan selesa tersebut menunjukkan ia melebihi daripada PGK negara yang baharu iaitu RM2,208,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sistem SSM telah dilaksanakan bermula November 2002 dan tidak pernah dikaji atau ditambah baik.
Tegasnya, selepas 19 tahun dilaksanakan, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula skim itu bagi memenuhi keperluan ekonomi dan kos sara hidup semasa.
"Kajian semula SSM ini perlu dilakukan dengan kadar segera memandangkan skim tersebut digubal berdasarkan keadaan ekonomi dan sara hidup sekitar tahun 2002 dan boleh dianggap tidak relevan dengan persekitaran ekonomi semasa.
"Dalam tempoh 19 tahun ini, kita telah berhadapan dengan pelbagai kos kenaikan sara hidup termasuk harga rumah yang begitu mendadak.
"Kebanyakan gaji permulaan di sektor kerajaan sebanyak RM1,200 tanpa mengambil kira elaun lain,” katanya.
Sementara itu, Adnan berkata, gesaan tersebut bukan bertujuan mendesak kerajaan melaksanakannya kadar segera pada tahun ini sebaliknya suatu usaha yang kukuh perlu dilakukan sekarang.
"Cuepacs juga bersedia mengadakan rundingan dan perbincangan dengan kerajaan dalam menyemak dan memperbaharui semula SSM.
"Suatu tindakan drastik perlu dilakukan bagi menyemak semula SSM agar hasrat kerajaan meningkatkan mutu perkhidmatan penyampaian sektor awam dilakukan dengan lebih berkesan,” ujarnya.
Cuepacs juga katanya, berharap kerajaan dapat menambah gred kenaikan pangkat Gred 28 dan 40 agar motivasi dan pelaksanaan pekeliling benar-benar dilaksanakan.
Cuepacs telah mengadakan Bengkel Semakan Sistem Saraan Baharu dan Pemurnian bertemakan ‘Gaji Selesa, Harga Adil’ selama tiga hari bermula Jumaat lalu, dengan topik utama yang dibentangkan adalah mengenai keadaan ekonomi semasa, kos sara hidup serta perbelanjaan rakyat khususnya penjawat awam.