Elak lambakan harumanis

Iklan
Pengarah Pertanian Negeri Perlis, Hafizuddin Othman (dua dari kanan) memberi penerangan mengenai harumanis kepada Ronald dan tetamu yang hadir di Ladang Kelompok Mangga Harumanis Kampung Tanah Pasir pada Ahad.

KANGAR- Jabatan Pertanian menjalin kerjasama strategik dengan tiga syarikat kurier iaitu Pos Malaysia, Citylink dan Line Clear bagi memastikan penghantaran mangga harumanis Perlis ke seluruh negara lebih cepat dan selamat.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kerjasama itu terjalin selepas jabatan berkenaan mempertimbangkan beberapa perkara berdasarkan pengalaman kaedah penghantaran tahun lalu.

Iklan
Iklan

Katanya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu menyebabkan berlaku lambakan harumanis kerana pelbagai pihak termasuk Jabatan Pertanian Negeri Perlis dan sistem e-dagang belum bersedia sepenuhnya.

Ronald (dua dari kanan) melekatkan pelekat QR code di kotak Harumanis yang akan dihantar kepada pembeli.

"Ketika itu juga berlaku penularan pandemik Covid-19. Jadi pada tahun ini kita menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak untuk mengelakkan perkara yang sama berulang sehingga boleh menyebabkan lambakan harumanis yang akan merugikan pengusaha.

Iklan

"Antara penambahbaikan yang dibuat pada tahun ini ialah penggunaan kotak buah tiga lapis yang lebih kukuh bagi menggantikan kotak buah satu lapis yang mudah rosak sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Harumanis Perlis Kembali Lagi dan Jualan Dalam Talian di Kompleks Pertanian Bukit Temiang di sini pada Ahad.

Selain itu katanya, syarikat penghantaran juga akan menggunakan lori khas bertujuan mengangkut harumanis sahaja bagi mengelakkan berlaku kerosakan buah.

Iklan

Menurutnya, sebuah pusat pengumpulan khas harumanis akan diwujudkan manakala penghantaran kali ini juga dijamin akan sampai kepada pembeli tidak melebihi tempoh tiga hari.

"Ini bagi memastikan pembeli menerima buah yang segar dan berkualiti dengan rasa dan keharuman harumanis yang sebenar.

"Saya turut melihat jaringan pasaran akan menjadi lebih luas apabila harumanis ini sampai kepada pengguna di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau turut melawat ke Ladang Kelompok Mangga Harumanis Kampung Tanah Pasir di sini untuk melihat pemprosesan harumanis sebelum dipasarkan.

Menurutnya, sebanyak 3,336 tan metrik mangga harumanis dijangka dapat dihasilkan sepanjang tahun ini dengan nilai pengeluaran sebanyak RM66.7 juta.

"Ia bakal memberi manfaat kepada 2,415 pengusaha harumanis di seluruh Perlis.

"Pada tahun ini juga Jabatan Pertanian Negeri Perlis mensasarkan 84 ladang lagi akan mendapat pensijilan myGAP setelah sebanyak 111 ladang berjaya mendapat pengiktirafan terbabit pada tahun lalu,”katanya.

Ronald menambah, Jabatan Pertanian turut melaksanakan inovasi melalui penghasilan QR code yang dilekatkan di kotak harumanis yang dihantar kepada pembeli.

"Melalui QR code itu pembeli dapat mengetahui beberapa maklumat penting mengenai buah yang dibeli seperti lokasi dikeluarkan, tarikh tanam dan petik dan beberapa perkara lain.

"Saya juga menyeru kepada rakyat Malaysia supaya tidak tertipu dengan buah mangga lain yang menggunakan nama harumanis.

"Pengguna boleh mendapatkan maklumat ketulenan harumanis daripada Jabatan Pertanian yang terdekat atau Facebook Jabatan Pertanian atau laman sesawang Jabatan Pertanian.