KUALA LUMPUR - Pusat Darah Negara (PDN) melanjutkan waktu operasinya sepanjang bulan Ramadan bagi memudahkan penderma darah beragama Islam untuk menderma darah selepas berbuka puasa.
Dalam satu hantaran yang dikongsikan PDN melalui Facebooknya, PDN Jalan Tun Razak akan beroperasi bermula jam 7.30 pagi hingga 9 malam pada Isnin hingga Jumaat, manakala Sabtu dan Ahad serta cuti umum pula dari jam 8 pagi hingga 4 petang.
Iklan
Iklan
Bagi PDN Donation Suite di Midvalley Megamall katanya, ia akan beroperasi setiap hari dari 10 pagi hingga 9 malam sepanjang Ramadan ini.
"Suite Derma Darah Puspanita di Presint 10, Putrajaya pula akan beroperasi dari 8 pagi hingga 4 petang pada Sabtu hingga Rabu dan 1 tengah hari hingga 8.30 malam setiap Khamis dan Jumaat.
"Penderma darah bukan beragama Islam diseru untuk tampil menderma darah sepanjang bulan Ramadan ini bagi memastikan stok darah kekal selamat," menurut hantaran tersebut.
Makanan berbuka disediakan di Puspanita (tertakluk kepada 15 penderma terawal) dan PDN, Jalan Tun Razak (tertakluk 30 penderma terawal). - Bernama