JOHOR BAHRU - Seorang warga Bangladesh dikenakan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini pada Isnin kerana merasuah seorang polis bantuan berjumlah RM500.
Bukan itu sahaja, tertuduh Md Shahinur Rahman, 39, turut berdepan hukuman penjara tiga bulan lagi sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mahkamah turut melucutkan hak wang tunai RM500 itu kepada kerajaan Malaysia.
Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membuat keputusan itu setelah tertuduh mengaku salah, sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Mengikut pertuduhan, Md Shahinur didakwa telah secara rasuah memberikan satu suapan iaitu wang tunai RM500 kepada seorang polis bantuan.
Kesalahan itu dilakukan pada 4 September 2020, jam 8.45 pagi di bangunan Truck Entrance Gate House Building di Kompleks Bersepadu Pengerang di Kota Tinggi, Johor.
Ia sebagai dorongan kepada polis bantuan berkenaan untuk tidak membuat sesuatu yang berhubungan dengan hal ehwal prinsipalnya, iaitu tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas rakannya, Ruhul Amin yang disyaki melakukan kesalahan cuba menceroboh masuk ke kawasan Kompleks Bersepadu Pengerang.
Dengan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Shatesh Kumaran manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Boon Hong.