KOTA KINABALU - Penduduk di kawasan Kampung Mengkapon, Pitas bakal memperoleh perkhidmatan telekomunikasi yang lebih baik, apabila sebuah menara telekomunikasi di kawasan itu siap Ogos ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi kenyataan pada Isnin menyatakan, menara itu merupakan antara 13 menara yang sedang dibina di daerah Pitas dan 50 menara telekomunikasi yang kini sedang dibina di seluruh negeri itu.
Iklan
Iklan
"Pembinaan menara berkenaan yang dilaksanakan di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) akan memanfaatkan penduduk di Pitas sekali gus mentransformasikan kehidupan penduduk setempat, dalam mengharungi era digital yang semakin pesat,” menurut kenyataan itu.
SKMM menyatakan, kesalinghubungan internet yang lebih baik di kawasan itu dijangka dapat melonjakkan taraf hidup penduduk setempat, selain memudahkan penduduk untuk melaksanakan pelbagai urusan harian dan mempelbagaikan sumber pendapatan mereka.
Kenyataan itu menyatakan, Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Ruddy Awah, baru-baru ini turut mengadakan lawatan ke tapak projek tersebut bagi memastikan kelulusan pemerolehan tapak dan pelaksanaan projek tersebut berjalan dengan lancar. - Bernama