GEORGETOWN - Kemudahan pelabuhan Pulau Pinang dan Langkawi di Kedah akan dinaik taraf sebagai tempat pendaratan ikan tuna supaya lebih kompetetif dan setanding pelabuhan antarabangsa.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, langkah itu akan menarik lebih banyak vesel yang beroperasi di Lautan Hindi dan mendaratkan hasil tangkapan mereka di dua pelabuhan berkenaan.
Menurutnya, usaha yang dilakukan bakal merancakkan kembali ekonomi negara dengan mewujudkan lebih banyak industri hiliran seperti perkhidmatan pengangkutan, penyimpanan dan pemprosesan ikan tuna.
"Buat masa ini kedua-dua pelabuhan berkenaan dilihat tidak begitu kompetitif dalam menarik vesel tuna khususnya pemain antarabangsa untuk berlabuh dengan mendaratkan hasil tangkapan mereka.
"Malah kita dapati atas sebab itu ada pengusaha tempatan yang mendaftar vesel ikan tuna mereka di luar negara seperti di Maldives," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Kapal Ibu Wira 1, di sini pada Isnin.
Kapal tangkapan tuna milik Alpha Ocean Resources Berhad (AORB) Group merupakan vesel terbaru membawa bendera Malaysia dalam operasi tangkapan ikan tuna di Lautan Hindi.
Ronald berkata, buat masa ini sebanyak 19 vesel dan sebuah kapal pengangkut ikan tuna yang dilesenkan dan beroperasi di Lautan Hindi dengan membawa bendera Malaysia.
Katanya, kesemua vesel terbabit memperoleh hasil tangkapan sebanyak 3,005 tan metrik yang dianggarkan bernilai RM40 juta.
"Daripada jumlah itu, Pelabuhan Pulau Pinang mencatatkan jumlah pendaratan sebanyak 1,944 tan metrik membabitkan nilai kira-kira RM28 juta manakala selebihnya dibawa melalui Pelabuhan Langkawi.
"Kita menyasarkan 70 buah vesel penangkapan tuna berbendera Malaysia akan beroperasi di Lautan Hindi menjelang 2030 dan lebih banyak pemain industri tuna melabuhkan hasil tangkapan di negara kita," katanya.