Tawar suapan RM100, warga Pakistan didenda RM4,000

Iklan
Tertuduh, Fazal Wadood (dua kanan) berbincang dengan peguamnya, Praya Singh (kanan) di Kompleks Mahkamah Alor Setar di sini pada Isnin.

ALOR SETAR - Seorang buruh binaan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menawarkan suapan RM100 kepada seorang anggota polis, Disember lepas.

Tertuduh, Fazal Wadood, 25, yang merupakan warganegara Pakistan membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Murtazadi Amran selepas pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya.

Iklan
Iklan

Mengikut kertas pertuduhan, Fazal didakwa melakukan kesalahan menawarkan suapan RM100 kepada anggota polis, Koperal Sharunizam Senin yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah.

Tertuduh didakwa menawarkan suapan sebagai balasan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas rakannya, Nazeem Khan yang tinggal di Malaysia melebihi tempoh masa ditetapkan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Iklan

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan di susur keluar Plaza Tol Pendang, Pendang di sini lebih kurang jam 10.45 malam pada 5 Disember lepas.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Zulfadli Azharudin manakala tertuduh diwakili peguam, Praya Singh.

Iklan

Mohd Zulfadli meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh bagi memberi pengajaran, namun Praya memohon hukuman ringan dikenakan ke atas anak guamnya berikutan tertuduh perlu menyara ibu bapanya.

Murtazadi kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,000 dan tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda ditetapkan.

Mahkamah turut memerintahkan barang kes iaitu wang bernilai RM100 diserahkan untuk dilupuskan hak manakala pasport tertuduh dikembalikan semula.