PENINGKATAN mendadak prestasi peledak Arsenal, Alexandre Lacazette dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) ternyata menggembirakan pengendali The Gunners, Mikel Arteta.
Menurut Arteta, pemain Perancis itu berada pada prestasi terbaik dengan tahap keyakinan yang tinggi dalam mengharungi baki saingan liga kali ini.
"Lacazette berjaya membuktikan penampilan dan kualiti positifnya bersama kelab sepanjang tempoh tujuh bulan ini. Jadi dia perlu terus mengekalkannya sehingga akhir musim.
"Jika dia kekal konsisten saya percaya nescaya pemain The Gunners beraksi baik dan kami akan konsisten memenangi perlawanan.
"Dia amat positif dalam pelbagai perkara. Cara dia berinteraksi dengan orang, cara dia berkomunikasi dengan rakan sepasukan serta kepimpinannya dalam dan luar padang.
"Dia sudah lama bersama Arsenal sekali gus membina kualiti dan berpengalaman luas, Kami memerlukan perwatakan sebegini dalam memacu kelab ini ke depan,” kata Arteta.
Lacazette tampil cemerlang dengan dua gol pada minit ke-33 dan 85' di samping satu daripada Martinelli (71') ketika membantu kelab London tersebut menjinakkan Sheffield United 3-0 di Bramall Lane.
Dua jaringan pemain berusia 29 tahun membolehkannya mengumpul 13 gol pada saingan liga selepas mengharungi 31 perlawanan musim ini.