KUBANG PASU - Kira-kira 500 petani di Kampung Matang Mahang, Kerpan di sini bimbang tali air yang tidak diselenggara dengan baik di kampung mereka akan menjejaskan kerja-kerja penyediaan tapak sawah bagi penanaman padi pada musim 1 tahun ini.
Pengerusi Badan Bertindak Petani MADA, Che Ani Mat Zain berkata, tali air sepanjang tiga kilometer itu sepatutnya telah dibersihkan pada penghujung Mac lalu oleh pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi melancarkan proses penyediaan tapak bermula 14 April hingga Mei depan.
Bagaimanapun katanya, masalah dialami sekarang menyebabkan petani di kawasan terbabit sukar untuk menepati jadual penanaman yang dikeluarkan oleh MADA.
"Tali air berkenaan penuh semak-samun dan sampah-sarap, air dari sungai utama tidak dapat mengalir masuk ke tali air terbabit untuk mengairi sawah.
"Sekiranya sungai bersih tanpa semak-samun tempoh masa yang diperlukan untuk air memenuhi sawah petani di sini kira-kira 15 hingga 25 hari sahaja," katanya ketika ditemui di Kampung Matang Mahang di sini pada Isnin.
Menurutnya, aduan kepada MADA telah dibuat oleh Ketua Unit Peladang pada minggu lalu namun belum ada tanda-tanda tindakan pembersihan akan dijalankan oleh MADA.
"Saya sangat berharap pihak MADA mengambil berat tentang kebajikan petani di sini terutama dari segi infrastruktur saliran dan pengairan untuk memudahkan petani mengikut jadual penanaman yang dikeluarkan," katanya.
Seorang petani, Yusuf Ali, 70, berkata, ini adalah kali kedua melibatkan masalah penyelenggaraan parit oleh pihak MADA.
"Dahulu pernah jadi sekali tetapi sekarang lagi sekali masalah sama berulang. Dalam sungai itu memang semak penuh dengan semak, pokok kangkung, rumput dan juga sampah-sarap.
"Masalah sekarang bukan air tidak ada tetapi air tidak dapat masuk ke tali air ini sahaja. Jadi sekarang sepatutnya bendang saya itu dah boleh putar tanah tapi apa pun tidak boleh buat lagi," katanya.
Seorang petani, Ismail Ishak, 42, berkata, sekiranya pihak MADA tidak mengambil berat terhadap isu penyelenggaraan tali air terbabit, ia akan membebankan petani yang ketinggalan dari jadual penanaman yang sepatutnya.
"Kalau tali air itu betul-betul bersih, air akan mengalir masuk sendiri ke dalam sawah apabila memenuhi paras sepatutnya tetapi bila ia terlampau semak, air tidak sampai ke tahap dikehendaki, maka kami terpaksa gunakan pam pula untuk menyedut air masuk ke dalam sawah," katanya.