Kurma pelbagai pilihan, murah di Ipoh

Iklan
Kehadiran Covid-19 di negara ini menyebabkan harga kurma sedikit menurun di Ipoh berbanding tahun lepas ketika umat Islam bakal menyambut kehadiran bulan mulia Ramadan. - Gambar hiasan

IPOH - Kehadiran tidak diundang pandemik Covid-19 di negara ini menyebabkan harga kurma sedikit menurun di bandar raya ini berbanding tahun lepas ketika umat Islam bakal menyambut kehadiran bulan mulia Ramadan.

Tinjauan di beberapa tempat utama di bandar raya ini mendapati, penurunan harga kurma tersebut disebabkan lebihan bekalan di pasaran sekali gus mendorong pemain industri menawarkan harga yang sedikit rendah kepada pelanggan.

Iklan
Iklan

Seorang peniaga, Pazilah Abdul Rani, 44 berkata, penurunan harga tersebut ekoran umat Islam yang tidak boleh merentasi bumi Makkah dan Madinah ketika pandemik Covid-19 sekali gus pembekal menawarkan harga yang murah kepada para peniaga.

"Pembekal dari Makkah memberi harga yang lebih murah berikutan pengunjung tidak boleh ke sana. Oleh itu, kami ambil dengan kuantiti yang banyak dan harga akan turun yang membolehkan kami memberi harga lebih rendah kepada pelanggan.

Iklan

"Selain itu, kami turut membuat promosi dengan menjual harga yang lebih murah dengan tawaran diskaun sebanyak 10 hingga 15 peratus,” katanya ketika ditemui di kedainya di sebuah pasar raya utama di bandar raya ini.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Nurul Husna Hamzah, 22 berkata, jualan kurma di kedainya pula turut mendapat sambutan termasuk pelanggan yang memilih untuk membeli juadah sunah Rasulullah SAW itu secara dalam talian.

Iklan

"Kami tawarkan penurunan harga kurma premium sebanyak RM10 hingga RM20 berbanding harga yang dijual pada tahun lalu,” jelasnya yang turut mengakui kesukaran mendapatkan bekalan kurma berikutan kesukaran ke Tanah Suci ekoran pandemik Covid-19.

Namun, pihaknya telah bersedia dengan membuat tempahan daripada pembekal seawal Februari lalu bagi memastikan bekalan kurma mencukupi kerana dijangkakan permintaan akan terus meningkat apabila menghampiri Syawal kelak.

Difahamkan hampir kesemua syarikat ini mendapatkan bekalan kurma mereka dari negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, Jordan dan Palestin.

Sementara itu, seorang pelanggan Aishah Abu Bakar, 48 berkata, dia tidak risau untuk mendapatkan bekalan kurma di bandar raya ini kerana banyak pilihan yang ditawarkan selain harga yang murah dan kurma berkualiti. - Bernama