Persatuan penyokong Perak FC gerak usaha cari penaja

Iklan
Syamsul (depan, tengah) bersama Shariff Ali (kanan) dan Jasmine (kiri) menunjukkan perjanjian yang dimeterai di antara Perak FC TBG MOBS dengan Sahom Valley Recreational Club (SVRC) dan Agensi redONE Budaya Cergas Sdn Bhd di Sahom Valley Resort di sini pada Ahad.

PERSATUAN Penyokong Bolasepak Perak FC (Perak FC TBG MOBS) sedia menggerakkan usaha membantu Perak FC mendapatkan penaja.

Presidennya, Syamsul Baharin Putra berkata, mengambil iktibar daripada apa yang berlaku, pihaknya mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi, redONE.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerjasama berkenaan membabitkan pelbagai manfaat yang akan diperoleh penyokong Perak termasuk tiket percuma dan diskaun penginapan.

"Jika kita lihat redONE ini merupakan penaja utama bagi pasukan Terengganu FC. Maka tidak mustahil untuk redONE juga boleh menjadi penaja utama Perak FC selepas ini.

Iklan

"Oleh itu, sebagai permulaan, pihak Perak FC TBG MOBS menjalinkan usahasama dengan redONE ini bagi menyemarakkan lagi sokongan kepada pasukan Perak FC,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) di antara TBG MOBS Perak FC dengan Sahom Valley Recreational Club (SVRC) dan Agensi redONE Budaya Cergas Sdn Bhd di Sahom Valley Resort di Kampar pada Ahad.

Hadir sama pada majlis tersebut, Pengerusi SVRC, Shariff Ali Jabad Ali dan Pengurus Pemasaran redONE Perak, Jasmine Ng.

Iklan

Beliau berkata, kerjasama itu juga turut melibatkan SVRC yang akan memberi peluang kepada penyokong Perak untuk merasai pengalaman aktiviti rekreasi di Sahom Valley Resort.

Sementara itu, Shariff Ali berkata, kerjasama itu nanti dijangka merancakkan kembali sektor sukan dan pelancongan yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19 lebih setahun lalu.

Menurut Shariff, menerusi kerjasama itu beberapa insentif ditawarkan selain tiket perlawanan percuma seperti kad keahlian untuk diskaun penginapan, aktiviti beriadah serta makan dan minum.

Katanya, insentif-insentif yang disediakan itu akan dinikmati menerusi langganan talian redONE.

"Diharapkan melalui kerjasama antara dua kelab ini, iaitu Perak FC TBG MOBS dengan SVRC ia akan dapat menyumbang kepada pembangunan sukan dan rekreasi dari aspek perniagaan dan sosio ekonomi setempat,” katanya.