JOHOR BAHRU - Dalang sebenar yang melakukan pengintipan percakapan telefon antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti disiasat, jika terbukti audio itu benar.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, sebagai negara yang mengamalkan demokrasi, rakyat mempunyai hak privasi.
Menurutnya, hanya dalam sebuah negara diperintah diktator dan mempunyai polis ala-Gestapo yang akan melakukan pengintipan perbualan dan percakapan telefon musuh politiknya dan rakyat jelata.
"Misalnya apa yang berlaku di zaman Nazi Hitler di Jerman dan di zaman diktator Joseph Stalin di Soviet Union. Adakah Malaysia kini di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah sampai ke peringkat yang sama seperti itu?
"Sekiranya, klip audio itu tulen dan benar, bukan Zahid dan Anwar yang perlu disiasat. Yang berbuat jenayah dan wajib disiasat ialah orang yang melakukan pengintipan percakapan telefon Zahid dan Anwar itu.
"Siapa orang itu? Adakah individu biasa atau sebuah agensi kerajaan? Apa kuasa undang-undang yang membenarkan pihak-pihak tertentu melakukan pengintipan percakapan telefon kedua orang presiden parti politik yang sah di negara ini?" soalnya.
Hassan yang juga seorang peguam memberitahu, terma rujukan itu yang patut diikuti oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya siasatan hendak dilakukan.
Katanya, isu yang kecil itu mempunyai pengertian dan implikasi yang besar termasuk persoalan undang-undang.
"Secara jujur, saya telah mendengar klip audio itu hanya sekali. Saya tidak ada 'credential' atau tauliah kepakaran untuk mengesahkan klip audio itu tulen, sahih dan benar.
"Justeru, saya ingin mengulas perkara ini daripada perspektif undang-undang. Saya teringat, lebih 13 tahun yang lalu pernah pernah berlaku kes dan kontroversi sehingga ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan dakwaan wujudnya klip audio percakapan telefon antara seorang peguam kanan dengan bekas Ketua Hakim Negara.
"Terdapat verbatim pembelaan yang amat menarik daripada peguam tersebut, iaitu, Suara itu macam saya, tetapi itu bukan saya,” jelasnya.
Hassan turut mempersoalkan, apa yang akan terjadi kalau sekiranya klip audio yang tersebar itu palsu dan sengaja direka-reka.
Jika terbukti rekaan, polis wajib menyiasat kerana ia jelas perbuatan bersifat jenayah.
"Daripada perspektif undang-undang, beban pembuktian tidak terletak ke atas Zahid dan Anwar. Mereka berdua mangsa konspirasi pihak ketiga. Pihak yang patut membuktikan kesahihan klip video itu ialah pihak yang menuduh klip video itu sesungguhnya rakaman percakapan Zahid dan Anwar.
"Nampaknya beban sekarang terletak pada kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuktikan klip video Zahid dan Anwar itu adalah benar, sahih dan autentik," katanya.