PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin mengumumkan peruntukan RM4 juta untuk penganut agama Sikh tahun ini bagi memperkukuh komuniti itu di negara ini.
Beliau berkata, sebagai kerajaan yang berpegang kepada prinsip prihatin dan keterangkuman masyarakat, kerajaan Perikatan Nasional (PN) komited untuk terus memperkukuh semua komuniti di Malaysia.
Semasa mengumumkan perkara itu, beliau berkata daripada jumlah tersebut sebanyak RM3 juta disalurkan untuk kegunaan 120 gurdwara atau tempat ibadat penganut agama itu di seluruh negara, manakala dana RM1 juta khusus diperuntukkan untuk penubuhan sebuah pusat Sikh yang pertama di negara ini.
"Ini satu usaha untuk sama-sama menunjukkan bahawa di Malaysia ini tidak kira siapa, bebas mengamalkan agama, budaya dan bahasa sendiri," katanya dalam ucapan pada Majlis Hi Tea sempena sambutan Hari Vaisakhi di sini pada Isnin.
Tahun lepas, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.18 juta kepada gurdwara di seluruh negara.
Perdana Menteri berkata selaras dengan objektif Dasar Perpaduan Negara, institusi keagamaan seperti gurdwara memainkan peranan penting sebagai ejen perpaduan negara untuk menyatupadukan masyarakat setempat di komuniti masing-masing.
Beliau berkata pemimpin di gurdwara juga harus memainkan peranan yang lebih proaktif bersama pemimpin komuniti tempatan untuk membantu penduduk khususnya di kawasan luar bandar bagi mendaftar untuk pengambilan vaksin Covid-19.
Muhyiddin berkata, kerajaan menghargai sumbangan besar komuniti Sikh di Malaysia dalam pembangunan negara merentasi pelbagai bidang termasuk ekonomi, sosial dan pendidikan.
"Perayaan Hari Vaisakhi ini adalah masa untuk meraikan sumbangan penting penganut agama Sikh kepada negara kita, dan untuk mengenali tradisi dan ajaran agama Sikh yang kaya tentang perpaduan, nilai-nilai murni kekeluargaan dan keadilan sosial," katanya.
Perdana Menteri berkata, sambutan Hari Vaisakhi pada 14 April ini juga merupakan lambang kepelbagaian yang diraikan oleh masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Muhyiddin menegaskan dasar kerajaan PN adalah berteraskan kepada prinsip saling menghormati, keterangkuman dan keadilan.
"Justeru, amat penting untuk kita semua saling mengenali dan cuba untuk memahami keunikan budaya dan sejarah antara satu sama lain," katanya.
Muhyiddin berkata prinsip dan semangat yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni meskipun Islam adalah agama persekutuan. Hadir sama Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan dan Presiden Majlis Gurdwara Malaysia Jagir Singh. - Bernama