Pemetaan menyeluruh pastikan pembukaan semula sektor sukan lancar

Iklan
Reezal Merican (duduk, tengah) bersama penerima anugerah pada Majlis APC 2020 KBS di sini pada Isnin. - Foto Bernama

WARGA Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diseru agar melakukan pemetaan menyeluruh strategi kementerian tahun ini terutamanya bagi memastikan pembukaan semula sektor sukan dan rekreasi berjalan lancar.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pembukaan semula sektor berkenaan penting bagi mengisi objektif salah satu teras Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) iaitu ‘memacu pemulihan ekonomi’ seterusnya menjadikan strategi kerajaan lebih berkesan dan tuntas.

Iklan
Iklan

"Hari ini kita sedang berada dalam fasa penyusunan semula. Saya kira, bersesuaian dengan namanya kita semua perlu memastikan inisiatif dan pelan strategik kita yang bermula tahun 2021 ini memenuhi prinsip dan kerangka reform oleh Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KBS dekat sini pada Isnin.

Iklan

Pemerkasa adalah inisiatif diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac lepas sebagai usaha terbaharu kerajaan memulihkan ekonomi negara dan rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Beliau juga menyeru mereka untuk melihat kembali kepada ‘Strategi 6R’ iaitu ketegasan (Resolve); ketahanan (Resilient); memulakan semula (Restart); pemulihan (Recovery); memperkasa (Revitalise); dan menyusun semula (Reform) dalam berdepan cabaran Covid-19 seperti disebut Muhyiddin sebelum ini.

Iklan

Reezal Merican juga menuntut warga KBS menunjukkan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi dalam melaksanakan ikthiar baharu tahun ini seperti Model Baharu Pembangunan Belia, Visi Sukan Negara 2030 dan Blueprint Industri Sukan.

Pada masa sama beliau tetap berpuas hati dengan pencapaian penerima APC KBS 2020 walaupun negara dilanda Covid-19 dan berharap agar mereka boleh menjadi kumpulan pemangkin kecemerlangan kepada semua warga kementerian selepas ini.

"Pelbagai inisiatif dan program untuk membantu kumpulan belia yang terjejas serta komuniti sukan yang terkesan telah dapat kita laksanakan,” katanya.

Seramai 410 pegawai dan kakitangan KBS diberi pengiktirafan atas pencapaian cemerlang mereka tahun lepas dengan penerima dianugerahkan sijil perkhidmatan cemerlang dan insentif RM1,000 berupa Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ketua Setiausaha KBS, Datuk M Noor Azman Taib.