NILAI - [DIKEMASKINI] Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan masih berusaha memadam kebakaran sebuah kilang memproses cat di kawasan Perindustrian Nilai Utama di sini, setakat jam 7 malam Selasa.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Abdul Rahman Ali berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian jam 4.05 petang setelah dihubungi oleh pihak kilang.
"Empat jentera, sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) bergegas ke lokasi dengan kekuatan anggota seramai 64 orang.
"Pasukan yang terlibat terdiri daripada Bali Bomba dan Penyelamat Nilai, Mantin, Seremban, Seremban 2 dan Port Dickson," katanya pada sidang akhbar di lokasi.
Menurutnya, bomba difahamkan kejadian berlaku ketika kilang sedang beroperasi namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Beliau berkata, sebaik anggota bomba tiba semua pekerja kilang sudah keluar menyelamatkan diri.
"Api dapat dikawal namun operasi pemadaman masih berjalan kerana kilang ini memproses cat dan bahannya mudah terbakar.
"Punca dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.