PPZ-MAIWP dibuka setiap hari sepanjang Ramadan

Iklan
Abdul Hakim (dua dari kiri) pada sidang akhbar Kempen Ramadan Untuk Semua #SyukuriNikmatBersama di Wisma PPZ, Kuala Lumpur pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Kaunter Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) akan dibuka setiap hari sepanjang Ramadan bermula jam 8.15 pagi sehingga 4.30 petang bagi memudahkan orang ramai membayar zakat.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara Wilayah Persekutuan, MAIWP menetapkan tiga kadar bayaran zakat fitrah pada tahun ini iaitu RM5, RM7 dan RM14.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pembayar zakat boleh memilih salah satu kadar bayaran tersebut mengikut kemampuan dan jenis beras yang digunakan.

"Jika makan beras basmati atau beras wangi contohnya, boleh menggunakan kadar RM14 dan jika makan beras biasa boleh memilih membayar RM7 atau RM5.

Iklan

"Bagaimanapun, RM5 biasanya dikhususkan kepada mereka yang terkesan secara langsung semasa pandemik Covid-19," katanya pada sidang akhbar Kempen Ramadan Untuk Semua #SyukuriNikmatBersama di Wisma PPZ di sini pada Isnin.

Beliau berkata, sasaran kutipan zakat sepanjang Ramadan tahun ini adalah sebanyak RM120 juta iaitu RM8 juta bagi zakat fitrah dan selebihnya kutipan zakat harta.

Iklan

"Sebanyak 10 kaunter PPZ-MAIWP disediakan bagi perkhidmatan dan saluran bayaran sepanjang Ramadan, selain bayaran secara dalam talian melalui fitrah.zakat.com.my dan zakat.com.my (zakat harta).

"Pengguna juga boleh menggunakan ejen kutipan zakat melalui perbankan internet di 15 bank, selain aplikasi e-wallet (Boost, Shopee dan GoPayz).

"Selain itu, pembayar juga boleh berurusan tanpa perlu ke kaunter dengan membuat temu janji di www zakat.com.my atau kaedah perkhidmatan 'Door to Door' melalui tempahan 1300-88-5757," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hakim berkata, PPZ-MAIWP menawarkan cenderahati wakaf al-Quran kepada 1,000 pembayar terawal yang membayar zakat serendah RM50 di kaunter PPZ-MAIWP.

Menurutnya, PPZ-MAIWP turut menyediakan program-program menarik sepanjang Ramadan seperti Ziarah Ramadan sebanyak empat siri dan program Jom Mengaji iaitu bacaan al-Quran yang diadakan setiap hari selama satu jam bermula 9 pagi yang boleh ditonton di Facebook PPZ-MAIWP.