PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan orang ramai memasak di rumah sempena Ramadan yang bermula hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selain dapat mengelak daripada bersesak di bazar, memasak di rumah dapat membantu mengawal penggunaan minyak, gula dan garam berlebihan dalam makanan.
"Masak di rumah jika boleh," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, walaupun masyarakat berpeluang mengunjungi bazar Ramadan, langkah berjaga-jaga perlu diambil kerana jumlah kes harian Covid-19 masih tidak stabil di beberapa negeri.
"KKM ingin menggesa masyarakat supaya tidak leka dan mengambil iktibar penyebaran jangkitan Covid-19 daripada aktiviti sosial seperti kunjung-mengunjungi rumah rakan dan sanak saudara, perjalanan rentas negeri atau menghadiri perhimpunan besar-besaran," katanya.
Beliau berkata, semua individu dinasihati agar sentiasa berwaspada dan mengelak kawasan yang sesak, sempit serta sembang dengan jarak dekat.
"Ia termasuk keluar dari rumah tanpa ada keperluan penting, menghadiri perhimpunan atau keraian berbuka puasa secara besar-besaran dan bersesak-sesak di bazar Ramadan," katanya.
Dr Noor Hisham berkata, aktiviti yang tidak terkawal itu dikhuatiri akan mengakibatkan peningkatan penCovid-19 di dalam komuniti.
"Sepanjang Ramadan ini juga, KKM ingin mengingatkan masyarakat mengamalkan empat kunci keselamatan
makanan bagi memastikan makanan yang disediakan untuk ahli keluarga yang tersayang adalah bersih dan selamat.
"Gunakan bahan mentah segar dan air bersih, peralatan berasingan untuk makanan mentah bagi mengelakkan pencemaran makanan yang telah dimasak serta masak makanan dengan sempurna.
"Pastikan ia dimakan dalam tempoh tidak melebihi dari empat jam dan simpan makanan pada suhu bersesuaian dan tidak melebihi tiga hari di dalam peti sejuk," katanya.