Tuah tidak memihak Penang FC

Iklan
Antara aksi menarik pertemuan Penang menentang Sabah dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada Ahad.

KETUA Jurulatih Penang FC, Tomas Trucha mengakui tuah tidak memihak pasukannya selepas hanya mampu seri 1-1 dengan Sabah FC di laman sendiri dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada Ahad.

Menurutnya, Sabah berjaya memanfaatkan beberapa kesilapan yang dilakukan Penang FC sekali gus berjaya mencuri satu mata di laman keramat skuad Utara itu.

Iklan
Iklan

"Kami ada perancangan macam mana nak bermain hari ini. Namun, hujan lebat menyukarkan hasrat kami melakukan taktikal yang telah kami rancang. Separuh masa pertama memang nampak kami bergelut untuk memperagakan aksi terbaik.

"Pada separuh masa kedua, kami memperbaiki permainan dan ia memberikan impak sehingga kami berjaya menjaringkan gol penyamaan. Tahniah kepada pemain kerana mereka tunjukkan semangat dan sebenarnya boleh jaringkan dua atau tiga gol lagi.

Iklan

"Namun, keputusan 1-1 ini adalah keputusan yang adil dan lawan lebih bertuah daripada kami. Ia bukan permainan mudah dan Sabah sukar untuk ditewaskan," katanya.

Setelah terikat tiada jaringan gol dalam babak pertama, rembatan deras daripada Saddil Ramdani pada minit ke-52 mengejutkan tuan rumah yang masih bergelut untuk menyesuaikan diri bermain di atas padang basah.

Iklan

Penang FC yang banyak melepaskan peluang untuk menjaringkan gol pada separuh masa kedua mampu menarik nafas lega apabila tandukan daripada Anselmo Da Silva berjaya melepasi gawang pasukan lawan pada saat-saat akhir perlawanan iaitu minit ke-85.

Keputusan seri yang dicatatkan mengekalkan Penang FC pada kedudukan keempat dengan 15 mata, berkongsi dengan Terengganu FC sementara Sabah FC pula di tangga ke-10 dengan kutipan enam mata.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Sabah FC Kurniawan Dwi Yulianto menyifatkan strategi yang dirangkanya menjadi satu kelebihan buat pasukan itu kerana berjaya mengumpul satu mata yang disifatkannya sebagai sangat penting.

"Kita sudah menganalisis corak permainan pasukan Penang FC yang merupakan satu pasukan yang ‘solid’. Kita berjaya seimbangkan kekuatan Penang FC dan saya ucapkan tahniah kepada pasukan saya kerana telah bermain dengan luar biasa,” katanya.