JEDDAH - Kementerian Haji dan Umrah di Arab Saudi telah menetapkan garis panduan solat dan protokol untuk mengeluarkan permit umrah sepanjang bulan Ramadan.
Stesen TV tempatan memetik kenyataan Presidensi Umum untuk Hal Ehwal Dua Masjid Suci pada Ahad melaporkan solat sunat tarawih, qiyam dan solat Isyak akan digabungkan serta tidak melebihi tempoh 30 minit di kesemua masjid di seluruh negara.
Pemerintah Saudi, Raja Salman Abdulaziz turut memperkenankan pelaksanaan langkah untuk mengurangkan bilangan rakaat solat tarawih kepada 10 rakaat.
Sementara itu, Pentadbiran Umum untuk Keselamatan di Masjidil Haram di Makkah juga akan melaksanakan langkah penjarakan fizikal bagi membendung penularan wabak Covid-19 dalam kalangan jemaah.
Di bawah langkah itu, jemaah akan diasingkan di ruang solat yang telah disteril dan disembur dengan cecair nyahkuman.
Selain itu, kamera pengimejan termal juga akan digunakan untuk mengesan suhu tubuh setiap individu seperti yang dilakukan ketika pembukaan berperingkat dua masjid suci pada tahun lalu.
Sebelum ini, jemaah umrah yang berhasrat mengunjungi Masjidil Haram di Makkah dan menziarahi Masjid Nabawi di Madinah perlu mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19 selepas ia ditetapkan sebagai syarat wajib. - Agensi
---------------
Info:
>Permit hanya akan dikeluarkan menerusi aplikasi Tawakkalna dan Eatmarna. Di bawah langkah kemas kini terbaharu, aplikasi Tawakkalna menetapkan setiap kategori dengan kod warna dan kod bar spesifik berdasarkan status kesihatan individu.
>Kenderaan tidak mendapat kebenaran tidak diizinkan memasuki kawasan sekitar Makkah dan pengunjung perlu tiba tepat pada masanya atau berisiko kehilangan slot waktu mereka.
>Kanak-kanak tidak dibenarkan memasuki Masjidil Haram di Makkah atau Masjid Nabawi di Madinah serta kawasan sekitarnya.
>Kementerian Dalam Negeri memberi amaran denda berjumlah 10,000 riyal (RM11,030) akan dikenakan ke atas jemaah yang menunaikan umrah tanpa permit dan denda berjumlah 1,000 riyal (RM1,103) terhadap individu yang cuba memasuki masjid tanpa permit.