Elak perbuatan menyalahi norma fitrah manusia: Mufti Kedah

Iklan
Syeikh Fadzil

ALOR SETAR - Umat Islam dinasihatkan berhati-hati ketika mengagungkan dan memuliakan keberkatan Nabi Muhammad SAW supaya perbuatan itu tidak menyalahi norma fitrah manusia.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, seeloknya keberkatan itu dipastikan kesahihannya berbanding mengikut secara semberono.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antaranya capal yang didakwa menyerupai capal Nabi Muhammad SAW dan merupakan lakaran atau replika.

"Ia bukanlah seperti tabarruk yang dilakukan oleh sahabat Baginda. Perlu difahami tabarruk itu mengambil keberkatan terhadap sesuatu yang terkait dengan peninggalan Nabi Muhammad SAW dan berlaku pada zaman sahabat namun sahabat mengambil keberkatan daripada peralatan seperti pakaian, serban, baju dan capal yang memang digunakan sendiri oleh Nabi Muhammad SAW,” katanya pada sidang akhbar pada Isnin.

Iklan

Syeikh Fadzil berkata, sebagai contoh, umat Islam tidak digalakkan memakai perhiasan di kepala seperti songkok yang mempunyai lakaran capal kerana ia bercanggah dengan norma fitrah manusia.

"Ini kerana kepala manusia adalah tempat yang mulia, sedangkan capal tempatnya di kaki. Saya yakin Nabi Muhammad SAW pun tidak menyukai capal yang digunakan di kaki tiba-tiba diletakkan di atas kepala. Itu bercanggah dengan norma fitrah insani,” katanya.

Iklan

Menurutnya, sekiranya capal yang menyerupai capal dipakai Nabi Muhammad SAW dijual, ia tidak mendatangkan masalah cuma masyarakat diminta menilai sesuatu perkara supaya tidak bercanggah dengan fitrah.

"Isunya apakah yang dikatakan gambar capal itu menyerupai capal sebenar dipakai Baginda dan sejauh mana kesahihan riwayat yang disampaikan kepada kita bahawa itu bentuknya?

"Sekarang capal itu dilukis dan tiada langsung unsur asalnya daripada Nabi Muhammad SAW. Lukisan yang serupa dengan capal Baginda tiada kaitan dengan apa dilakukan sahabat dalam mengambil keberkatan itu. Oleh itu perbuatan seperti itu tidak digalakkan dan boleh menimbulkan fitnah,” katanya.

Syeikh Fadzil bersyukur kerana setakat ini, tiada laporan wujud kes seperti di Perak membabitkan replika papan kayu berbentuk capal menghiasi bahagian mihrab sebuah surau yang tular di media sosial baru-baru ini.

Syeikh Fadzil sebelum itu melancarkan Program Infak Aidilfitri dan mengumumkan penetapan kadar zakat fitrah Kedah 2021 di Menara Zakat.

ARTIKEL BERKAITAN: Replika capal perlu dialihkan ke ruang bersesuaian