LUBNAN yang menghadapi perang saudara tetapi berakhir lebih 30 tahun lalu kini berdepan dengan krisis ekonomi paling teruk sehingga menyebabkan lebih 50 peratus penduduknya hidup dalam kemiskinan.
Perang saudara itu berakhir pada tahun 1990 dengan 150,000 orang mati dan 17,000 lagi hilang manakala perpecahan parti politik masih lagi berterusan serta menghantui negara tersebut.
Ia bermula pada tahun 1975 melibatkan kumpulan penduduk Kristian dan kumpulan-kumpulan Islam serta campur tangan dari Israel dan Syria. Ia berakhir apabila Liga Arab turut memainkan peranan untuk menamatkan konflik tersebut.
Bagaimanapun, menurut Bank Dunia pada 2 April lalu, negara tersebut berdepan dengan zaman kemelesetan ekonomi disebabkan oleh ketiadaan dasar ekonomi yang kukuh bagi menghadapi krisis kewangan, kesan akibat pandemik Covid-19 dan letupan di Pelabuhan Beirut pada Ogos tahun lalu.
Sejak tahun 2019 lagi, mata wang pound Lubnan telah susut nilai lebih 85 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di pasaran gelap manakala harga barangan semakin meningkat.
Nilai tukaran mata wang Lubnan ketika ini ialah AS$1 (RM4.13) bagi setiap 1,500 pound Lubnan.
Para pelanggan menyerbu pasar raya untuk memperoleh barangan yang disubsidi manakala orang ramai memburu ubat-ubatan yang kini menghadapi kekurangan bekalan di pasaran.
Namun, menurut AFP, pihak berkuasa didakwa hanya membuat usaha yang sedikit bagi menangani penularan pandemik Covid-19 yang telah membunuh lebih 6,600 orang manakala letupan Pelabuhan Beirut di Lubnan pula meragut lebih 200 nyawa dan ribuan lagi cedera serta menyebabkan kemusnahan besar.
Sehingga kini, pelaku yang bertanggungjawab menyebabkan letupan besar dipercayai berpunca daripada lebih 2,500 tan baja ammonia nitrat yang disimpan hampir tujuh tahun meletup di dalam gudang pelabuhan tersebut masih belum lagi dibicarakan.
Berikutan letupan tersebut, Perdana Menteri Lubnan, Hassan Diab dan kerajaannya bertindak meletakkan jawatan tetapi beliau sehingga kini mentadbir buat sementara sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.
Pada Oktober tahun lalu, Presiden Lubnan, Michel Aoun dilaporkan memilih bekas Perdana Menteri, Saad Hariri untuk menjadi bakal Perdana Menteri namun beliau dilaporkan bersetuju untuk memegang jawatan tersebut hanya jika golongan teknokrat dibenarkan menyertai kerajaannya.
Sehingga kini, pergerakan Hezbollah yang kerap dikaitkan mempunyai hubungan dengan Iran menolak tuntutan Hariri tersebut yang sebelum ini pernah menjadi Perdana Menteri pada tahun 2009 hingga 2011.
Presiden Lubnan itu meminta Hariri membentuk sebuah kerajaan baharu dengan segera di tengah-tengah kemarahan penduduk berhubung krisis ekonomi yang dihadapai oleh negara berkenaan.
Bagaimanapun, sehingga Isnin lalu, sebuah kerajaan baharu itu masih lagi belum dibentuk untuk mentadbir Lubnan.
Lebih 1,000 doktor dilaporkan sudah meninggalkan Lubnan ekoran masalah krisis ekonomi yang menurut Menteri Kewangan sementara, Ghazi Wazni negara tersebut akan mengalami masalah kekurangan wang untuk membiayai import barangan pada akhir Mei depan.
Kadar pengangguran pada lewat tahun 2020 ialah sebanyak 39.5 peratus manakala Program Makanan Sedunia (WFP) mencatatkan harga makanan meningkat lebih 400 peratus pada tahun lalu manakala harga seperti nasi, pasta dan minyak masak naik hampir tiga kali ganda sejak Oktober 2019.
Menurut Gulf Times, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan kira-kira 55 peratus penduduk Lubnan hidup di bawah garis kemiskinan dengan memperoleh pendapatan sebanyak AS$3.84 (RM15.87) sehari.
Akaun-akaun bank dilaporkan dibeku manakala bank-bank di Lubnan telah meletakkan sekatan ke atas pengeluaran dan pemindahan wang dengan hanya AS$1,000 (RM4,133) dibenarkan untuk dikeluarkan sejak November 2019.
Menurut Bank Dunia, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Lubnan pada tahun lalu menguncup sebanyak 19.2 peratus menyebabkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyatakan negara berkenaan boleh keluar dari krisis ekonomi jika sebuah kerajaan baharu ditubuhkan dan melaksanakan pembaharuan ekonomi bagi tempoh jangka panjang.
Seorang pemerhati politik di Pusat Asia Barat Malcolm H. Kerr Carnegie, Beirut iaitu Michael Young menyatakan bahawa Lubnan yang pernah dikenali sebagai Switzerland di Asia Barat berdepan dengan masalah keruntuhan sistem kewangan, ekonomi dan keselamatan jika para pemimpin politik tidak berusaha untuk menghalangnya daripada berlaku.
Negara itu pernah mempunyai ekonomi yang makmur pada tahun 1960-an dan 1970-an dan berjaya menarik pelabuhan asing, selain menjadi destinasi pelancongan yang popular.
Namun kini, jumlah hutang terkumpul negara tersebut telah mencapai AS$90 bilion (RM371.97 bilion) pada tahun 2020 atau 170 peratus daripada KDNK Lubnan.
Seorang ibu yang mempunyai tiga orang anak dan berusia 58 tahun, Abla Barotta yang terselamat dalam perang saudara yang bermula pada tahun 1975 itu berkata kepada AFP bahawa krisis ekonomi yang dihadapinya kini tidak seteruk seperti zaman perang tersebut yang berakhir pada tahun 1990.
"Kami pernah berasa bimbang akan terbunuh akibat serangan bom dan penembak tepat (semasa perang saudara) tetapi kami kini berasa takut dengan penyakit, kemiskinan dan kelaparan," katanya seperti dilaporkan oleh AFP. - Agensi