Pemain Liga-M kena kawal emosi, jaga tingkah laku

Iklan
Laporan Sukan Sinar. Gambar kecil: Jamal Nasir

BEKAS pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail menegaskan sudah tiba masanya kelab Liga Malaysia (Liga-M) mendidik semula pemain masing-masing supaya lebih menghayati undang-undang bola sepak terutamanya berkaitan menyentuh pengadil perlawanan.

Menurut Jamal Nasir, insiden kad merah terhadap pemain dapat dielakkan sekiranya pemain meletakkan keutamaan terhadap semangat kesukanan dalam permainan yang berintensiti tinggi seperti bola sepak.

Iklan
Iklan

"Pemain yang dikenakan layangan kad merah tidak hanya merugikan diri sendiri apabila didenda dan digantung perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetapi juga akan menjejaskan prestasi kelab untuk perlawanan seterusnya.

"Bayangkan sekiranya berlaku kes kecederaan dalam kalangan pemain, yang digantung akibat kad merah pula merupakan pemain utama dan penting dalam mencorakkan permainan, tidakkah itu menjejaskan perancangan taktikal jurulatih.

Iklan

"Disiplin di padang dalam kalangan pemain perlu dimaksimumkan dengan mengawal emosi, paling penting kawal akal. Jadi menjadi tanggungjawab pengurusan kelab-kelab untuk kembali mendidik kepentingan mematuhi undang-undang bola sepak dalam jiwa pemain-pemain masing-masing,” katanya kepada Sukan Sinar.

Jamal Nasir berkata demikian ketika diminta mengulas insiden dua layangan kad merah terhadap pemain Kedah Darul Aman (KDA) semasa aksi Liga Super menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Darul Aman baru-baru ini.

Iklan

Pada perlawanan itu, dua tonggak tuan rumah, Fadzrul Danel Nizam dan Rodney Celvin dilayangkan kad merah oleh pengadil Noor Azriel Baharudin di penghujung babak perlawanan.

Namun tindakan Fadzrul Danel menolak pengadil sebelum dan selepas dilayangkan kad merah pada perlawanan tersebut menghangatkan kembali isu menyentuh pengadil dalam saingan Liga-M.

Dalam masa sama Jamal Nasir tidak menolak kemungkinan insiden menyentuh pengadil akan berulang sekiranya pihak bertanggungjawab tidak mengambil serius membendung perkara yang sedang melanda arena liga bola sepak tempatan.

"Saya bimbang pengadil akan merasa diri mereka tidak selamat lagi selepas ini. Sudahlah liga kita kekurangan barisan pegawai perlawanan, dan berlakunya insiden sebegini nescaya akan menyebabkan tidak ramai dalam kalangan rakyat negara ini yang mahu menyertai profesion sebagai pengadil pada masa depan.

"Seandainya selepas ini tiada lagi dalam kalangan orang tempatan yang mahu menjadi pengadil, kita terpaksa guna khidmat pengadil import. Namun seandainya senario ini berterusan saya percaya pengadil import pun tidak mahu datang ke Malaysia mengadili perlawanan liga kita sekiranya merasakan diri mereka pula terancam semasa mengendalikan perlawanan," katanya yang berpengalaman menjadi jurulatih, pengurus pasukan dan juga ahli jawatankuasa FAM sebelum ini.

Dalam pada masa sama, Jamal Nasir turut menyarankan supaya FAM melalui jawatan kuasa bertanggungjawab dapat melaksanakan undang-undang secara menyeluruh.

Jelas Jamal Nasir, isu berkaitan menyentuh pengadil atau pegawai pertandingan ini sebenarnya merupakan antara kesalahan yang serius dalam undang-undang bola sepak.

"Pada zaman saya dulu jarang berlaku kes sentuh pegawai pertandingan ini, andai ada pun dalam kalangan pemain sahaja. Mungkin terdapat satu dua kes pemain mempertikaikan keputusan pengadil tapi secara lisan tapi menyentuh pengadil setahu saya jarang.

"Saya nampak perkara ini akan kembali berulang pada masa depan sekiranya pengurusan kelab Liga-M dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mengambil langkah proaktif menangani isu menyentuh pegawai perlawanan ini.

"Tapi keputusan yang diputuskan perlulah konsisten. Jangan untuk team A gantung satu perlawanan, team B gantung dua perlawanan sebaliknya perlu adil supaya menjadi pengajaran dan pengalaman berguna kepada pemain tersebut.

"Saya bukan apa sebenarnya, undang-undang bola sepak ini perlulah diguna pakai secara lebih menyeluruh kerana dalam undang-undang ini pun ada budi bicara. Tapi yang menyentuh soal pengadil ini sepatutnya tiada kompromi,” ujarnya.

Pada masa sama Jamal Nasir turut menasihati pemain-pemain untuk kembali memikirkan implikasi apabila dikenakan kad merah yang juga merugikan diri mereka.

"Apabila dikenakan denda dan penggantungan, tidakkah itu akan mengurangkan pendapatan yang mana sekali gus menjejaskan komitmen bulanan mereka?

"Seandainya hukuman dikenakan untuk satu tempoh panjang dan jumlah yang tinggi, apa yang hendak dilakukan pemain-pemain ini sepanjang tempoh berkenaan?

"Pemain-pemain sekarang seharusnya mengambil contoh pemain lincah negara legenda Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari walaupun sering diprovokasi dan diterjah pemain lawan, namun tetap berjiwa sportsman dalam mengawal emosi sepanjang perlawanan,” katanya.