Kekal prestasi dividen dua digit

Iklan
Wan Junaidi (empat dari kiri) dan Abd Rani (tiga dari kiri) pada sidang akhbar selepas mengumumkan dividen dan prestasi kewangan Kumpulan Bank Rakyat bagi tahun berakhir 31 Disember 2020 di Menara Bank Rakyat pada Isnin.

BANK RAKYAT mengumumkan pembayaran dividen 13 peratus dengan jumlah anggaran sebanyak RM373.36 juta kepada semua anggotanya untuk tahun 2020.

Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembayaran dividen tersebut akan dikreditkan kepada anggotanya bermula pada hari Isnin.

Iklan
Iklan

"Meskipun kadar pembayaran dividen kali ini mencatatkan pengurangan satu peratus berbanding pada tahun 2019, Bank Rakyat masih mengekalkan prestasi dividen berjumlah dua digit sejak 22 tahun yang lalu. Bank Rakyat sentiasa prihatin terhadap anggotanya yang mana majoriti terdiri daripada golongan B40.

"Justeru, saya berharap agar pembayaran dividen ini dapat membantu meringankan beban kewangan 5.1 juta rakyat Malaysia pada saat negara dilanda penularan pandemik Covid-19 yang turut menjejaskan ekonomi negara. Pada masa yang sama, ia juga membantu anggota membuat persiapan pada bulan Ramadan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan dividen dan prestasi kewangan kumpulan Bank Rakyat bagi tahun berakhir 31 Disember 2020 di Menara Bank Rakyat, di sini pada Isnin.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Datuk Ahmad; Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Nordin Salleh.

Iklan

Sementara itu, Abd Rani berkata, Bank Rakyat masih berada dalam situasi kukuh serta jauh daripada paras ambang yang ditetapkan oleh bank sendiri iaitu 50 peratus daripada dividen berkenaan.

"Dalam keadaan sedemikian, kita mengisytiharkan 13 peratus. Pada masa yang sama, situasi keadaan bank masih kukuh dan boleh membantu mereka yang memerlukan bantuan di luar sana,” katanya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (empat dari kiri) ketika mengumumkan dividen Bank Rakyat sebanyak 13 peratus.

Abd Rani berkata, Bank Rakyat mencatatkan keuntungan RM1.44 bilion sebelum cukai dan zakat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 manakala keuntungan bersih RM1.38 bilion.

Menurutnya, prestasi itu dicapai melalui kekuatan asas dan fokus kepada aktiviti teras walaupun dalam keadaan persekitaran yang tidak menentu berlanjutan kesan daripada pandemik Covid-19 dan pasca moratorium.

"Prestasi kewangan tahun 2020 didorong oleh aktiviti pembiayaan dan pelaburan yang mampan walaupun terdapat sedikit penurunan dalam pembiayaan berikutan pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang mengakibatkan kemampatan margin.

"Namun demikian, peruntukan penjejasan yang lebih tinggi setelah mengambil kira potensi pembiayaan terjejas (NPF), sejajar dengan industri, mengakibatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat lebih rendah berbanding keuntungan tahun sebelumnya sebanyak RM1.83 bilion,”katanya.

Beliau berkata, pendapatan operasi Bank Rakyat meningkat 6.4 peratus kepada RM3.41 bilion, daripada kos pendanaan yang lebih rendah.