LIMA rakan kongsi perusahaan kimpalan bersyukur apabila dipilih menjadi antara penerima Program Peningkatan Pendapatan (PPP) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).
Menurut Mohd Noor Khairuddin Razali, 37, sebelum ini mereka hanya mampu menyewa peralatan untuk mengusahakan perniagaan yang dikendalikan sejak tiga tahun lalu.
Katanya, mereka bermula secara kecil-kecilan kerana berdepan kekangan modal dan apabila mendapat kerja sub-kontrak, terpaksa menyewa barangan seperti mesin.
"Sejujurnya nilai sewaan itu tidak mampu membayar penat lelah namun kami meneruskan perniagaan ini untuk keluarga. Untung yang dapat hanya cukup makan sahaja.
"Kekangan utama kami ialah peralatan kerana untuk membelinya, kami tidak mampu. Apabila menyewa, kami perlu mengeluarkan kos yang tinggi. Bantuan daripada KESEDAR ini amat bermakna dan menjadi pembakar semangat untuk lebih maju lagi,” katanya mewakili empat rakan lain.Sementara itu, penerima bantuan PPP secara individu, Muhammad Mukmin Omar, 31, berkata, dia berterima kasih kepada KESEDAR kerana merealisasikan impiannya untuk memiliki kelengkapan perusahaan bengkel miliknya.
"Selepas ini kerja akan menjadi lebih mudah kerana peralatan sudah lengkap dan dua pekerja saya akan membantu menguruskan bengkel bersama," katanya.
Mohd Noor Khairuddin dan Muhammad Mukmin merupakan antara 11 penerima yang hadir dalam Majlis Penyampaian Bantuan PPP KESEDAR di Dewan Rahmat di sini pada Sabtu.
Majlis penyampaian itu disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Norison Ramli selepas Mesyuarat Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) di Ibu Pejabat KESEDAR Gua Musang.
Raih RM4,000 sebulan
Lima tahun lalu, bapa kepada enam anak ini memilih perusahaan arang tempurung untuk menjana pendapatan bagi menyara keluarga.
Bagaimanapun, perusahaan kecil-kecilan ekoran kekangan modal, Azman Tamilselvan Abdullah hanya meraih RM1,500 sebulan.
Bagaimanapun siapa sangka, selepas menerima bantuan 30 tong besi, kanopi dan mesin penyaring tempurung dari bantuan PPP KESEDAR tahun lalu, pendapatan Azman mencecah RM4,000 sebulan sekali gus berjaya keluar dari belenggu kemiskinan.
Azman yang juga peserta eKasih, tidak mempunyai pendapatan tetap dan disenaraikan dalam kategori miskin tegar.
"Saya dan isteri mula memeluk Islam sejak tujuh tahun lalu. Pada tahun 2016, saya memulakan perusahaan arang tempurung kelapa. Sebelum menerima bantuan daripada KESEDAR, saya hanya mampu meraih RM1,500 dengan kapasiti tiga tan arang sebulan.
"Alhamdulillah, kini pendapatan saya semakin meningkat malah sudah mempunyai pekerja. Terima kasih KESEDAR kerana tanpa bantuan ini, saya tidak mungkin berjaya seperti hari ini,” katanya yang pernah menyertai kursus anjuran Jabatan Pertanian Negeri.
Bantuan RM5.6 juta
KESEDAR telah membelanjakan RM5.6 juta, sejak tahun 2011 dan daripada jumlah tersebut, seramai 577 peserta menerima manfaat bantuan berkenaan yang mana 39 penerima dipilih tahun ini.PPP dilaksanakan sejak Rancangan Malaysia ke-8 di bawah KPLB dengan bertujuan meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar, miskin dan berpendapatan rendah (B40) di kawasan luar bandar.
Menerusi program berkenaan mereka melibatkan diri dalam projek ekonomi yang berupaya meningkatkan taraf hidup dan pendapatan.
Projek ekonomi PPP memberi tumpuan kepada empat skop utama iaitu projek berasaskan perkhidmatan, perniagaan kecil-kecilan, perusahaan memproses asas tani, perikanan serta penternakan.
Kadar bantuan bagi seorang penerima ialah bantuan maksima, RM10,000 bergantung kepada projek dilaksanakan.