14 pendaki sesat di Gua Kelam Tiga

Iklan
Seramai 14 pendaki dari dua buah kelab rekreasi tempatan terperangkap lebih 20 jam di Gua Kelam Tiga di sini sejak petang Isnin. - Gambar hiasan

PADANG BESAR - Seramai 14 pendaki dari dua buah kelab rekreasi tempatan terperangkap lebih 20 jam di Gua Kelam Tiga di sini sejak petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superitendan Saifudin Aslin Abbas berkata, pendaki terbabit terdiri daripada 10 lelaki dan empat orang perempuan merupakan warga tempatan.

Iklan
Iklan

"Kita difahamkan 11 orang pendaki mula memasuki Gua Kelam Tiga pada 11 pagi semalam (Isnin) bersama sekumpulan pendaki dari sebuah politeknik, namun mereka (11 pendaki) memilih jalan berbeza menyebabkan terpisah dari kumpulan pendaki politeknik.

"Pada 10 malam, tiga orang lagi pendaki yang menghantar makanan kepada rakan mereka turut sesat,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, polis menerima laporan awal pada 6.50 pagi dan berjaya mengenal pasti lokasi pendaki apabila berjaya menghubungi mangsa yang sesat pada 9.30 pagi Selasa.

"Kita telah lancar operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 11 pagi yang dianggotai 18 orang daripada Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan Malaysia (JPM) dan pemandu arah,” katanya.

Iklan

Saifudin berkata, maklumat awal yang diperoleh mendapati bahawa semua mangsa dalam keadaan selamat dan hanya mengalami keletihan dan luka-luka kecil.

"Kita terpaksa mengambil masa yang agak panjang untuk membawa keluar semua mangsa berikutan keadaan gua dan mungkin akan mengambil masa lapan hingga 10 jam,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati bahawa semua mangsa masuk ke gua itu tanpa kebenaran pihak JPM dan mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 dan boleh dikompaun.

Saifudin menasihati orang ramai yang ingin terlibat dalam aktiviti mendaki atau memasuki hutan agar mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa terlebih dahulu. - Bernama