[DIKEMASKINI] PKPD di lapan lokaliti di Sabah, Pahang mulai esok

Iklan
Ismail Sabri - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di lapan lokaliti di Sabah dan Pahang bermula esok hingga 27 April depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berikutan pengesahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa berlaku peningkatan kes di lokaliti terbabit dengan kadar kebolehjangkitan tinggi dalam komuniti.

Iklan
Iklan

Menurutnya, empat lokaliti di Sabah melibatkan pasar dan perumahan Sim-Sim serta Kampung Sungai Obar di Sandakan; Taman Villa Mas di Tawau dan Kampung Melangkap Tomis di Kota Belud.

Katanya, bakinya di empat perkampungan di Temerloh, Pahang iaitu Kampung Paya Pulai Tengah, Kampung Pulau Terap, Paya Pulai-Kampung Batu 4 dan Paya Pulai-Kampung Batu 5 di Jalan Maran.

Iklan

"Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 38 ujian saringan di kawasan perumahan Sim-Sim dan daripada jumlah itu, secara kumulatifnya sebanyak 17 kes positif Covid-19 direkodkan.

"Sebanyak 46 ujian saringan juga dilakukan di Kampung Sungai Obar dan 10 kes positif telah direkodkan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, KKM juga telah melakukan 42 ujian saringan di Taman Villa Mas dan daripada jumlah itu, secara kumulatifnya sebanyak tujuh kes positif direkodkan.

"KKM juga mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh seminggu di lokaliti itu serta terdapat 35 ujian saringan yang masih menunggu keputusan.

"Sebanyak 31 ujian saringan turut dijalankan di Kampung Melangkap Tomis dan daripada jumlah itu empat orang daripadanya didapati positif Covid-19," katanya.

Beliau menjelaskan, di empat kampung di Temerloh pula secara kumulatif sebanyak 16 kes positif Covid-19 telah direkodkan hasil 234 ujian saringan yang telah dilaksanakan.

Berikutan itu, beliau berkata, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di semua lokaliti itu setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM.

Katanya, pelaksanaan PKPD itu untuk memastikan pergerakan penduduk di lokaliti berkenaan dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 ke komuniti luar.