JOHOR BAHRU - Festival Sekolah Agama Angkat Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ)-HOPE merupakan inisiatif tahunan dalam membentuk modal insan yang dinamik dan menjana daya intelektual pelajarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, festival itu merupakan platform pelajar mengetengahkan bakat, menimba ilmu, berkongsi pengalaman dan membina keyakinan diri dengan akhlak berpandukan ajaran Islam.
Jelasnya, matlamat KPRJ selaku kontraktor utama yang membina Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) bukan sahaja menyediakan prasarana tetapi membantu penambahbaikan aktiviti kurikulum pendidikan agama selari dengan peredaran zaman.
"Bagi tujuan ini kita memperuntukkan RM15,000 untuk setiap sembilan SAKJ sekitar Johor yang dipilih menjadi sekolah angkat KPRJ-HOPE bagi sesi 2020 antaranya di Kulai, Pontian dan Johor Bahru.
"Festival ini adalah kemuncak bagi mencungkil bakat terpendam dan meraikan kesemua sekolah agama angkat KPRJ-HOPE," katanya ditemui pemberita selepas merasmikan festival itu di Kompleks Yayasan Warisan Johor di sini pada Isnin.
Hadir sama Exco Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanti dan Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Yosree Ikhsan.
Dalam pada itu, Mohd Noorazam berkata, matlamat utama festival itu yang masuk kali ketiga dan dimulakan pada 2018 adalah untuk mengilap bakat mereka dalam bidang penyampaian awam, fesyen, seni lukis dan mewarna.
Pada kali ini katanya, empat acara bagi festival itu diketengahkan iaitu pertandingan mewarna, melukis, daie junior dan fesyen Islamik.
KPRJ katanya, sentiasa mendokong usaha membangun dan memajukan umat Islam termasuk membentuk sahsiah pelajar yang baik.