'Jangan sekat bantuan kami'

Iklan
Ramai nelayan pantai di Kampung Sungai Haji Dorani bergantung kepada ESH jika tidak ke laut

SABAK BERNAM - Kira-kira 150 nelayan pesisir pantai di Kampung Sungai Haji Dorani di sini, mendakwa Elaun Sara Hidup (ESH) golongan itu dikurangkan sebanyak RM100 berbanding RM300 sebelum ini.

Lebih mengecewakan, sebahagian kecil nelayan mengadu bantuan yang diterima mereka pada pertengahan bulan tidak dimasukkan ke akaun seperti biasa sejak tiga bulan lalu.

Iklan
Iklan

Rahmat Mat Darus, 52, berkata, nelayan terkejut apabila ESH bulan ini dibayar hanya RM200 berbanding RM300 pada bulan sebelumnya.

"Kami hairan kenapa ESH nelayan dikurangkan RM100, sedangkan kami yang bergadai nyawa setiap hari turun ke laut terhimpit dengan kos sara hidup makin tinggi.

Iklan

"Kerajaan sepatutnya cari jalan penyelesaian bantu ringankan beban dan bukannya menyusahkan kami dengan memotong ESH," katanya.

Rahmat yang menyara hidup sebagai nelayan sejak 30 tahun lalu berkata, mereka tidak menerima sebarang notis dan makluman daripada kerajaan berhubung pemotongan bantuan berkenaan.

Iklan

"Kerajaan sebelum ini sentiasa membantu nelayan dengan memperkenalkan ESH dan menaikkan jumlah bantuan bulanan diberi, tapi kerajaan PH pula seolah-olah mengabaikan periuk nasi kami. Ada juga dakwaan elaun ini akan ditamatkan," katanya.

Rahmat (kanan) kecewa kerana ESH nelayan dipotong.

Justeru katanya, mereka merayu supaya mengekalkan atau menambah ESH yang selama ini berjaya meningkatkan taraf ekonomi golongan berkenaan.

"Janganlah sekat dan kurangkan bantuan yang kami terima. Kasihanilah kami yang turun ke laut terpaksa berpanas, berhujan dan menempuh laut bergelora semata-mata mencari sesuap nasi," kata bapa tujuh anak itu.

Mohd Said Abdullah, 52, pula, berkata, dia antara puluhan nelayan di kawasan itu yang tidak memperoleh ESH sejak Disember tahun lalu.

Jadi tanda tanya

Mohd Said yang bekerja sebagai nelayan sejak berusia 12 tahun berkata, keadaan itu menimbulkan tanda tanya sedangkan semua dokumen diperlukan lengkap dan lesennya masih aktif.

Menurut Mohd Said, ESH yang diterima sebanyak RM300 sebelum ini banyak membantunya sekeluarga membeli barang keperluan harian.

"Hidup sebagai nelayan ini seperti air laut yang ada pasang surutnya. Kalau ada rezeki ikan banyak, lebihlah pendapatan kami... tapi pernah juga, tak dapat langsung hasil dan terpaksa pulang dengan tangan kosong," katanya.

Nelayan mendedak kerajaan teruskan ESH dan tidak menangguhkan bayaran berkenaan.

Nurul Samsul Mohd Idris, 35, berkata, dia sebelum ini tidak pernah berdepan masalah ESH yang tidak diterima berbulan lamanya.

Bagaimanapun katanya, sejak tiga bulan lalu, keadaan itu menjadi tanda tanya dan beberapa rakan lain.

"Bayangkan saya dengan penuh harapan pergi ke bank semata-mata ingin keluarkan duit ESH. Namun kecewa apabila duit itu tidak masuk ke dalam akaun.

"Saya juga mempunyai seorang anak bersekolah dan dua lagi masih kecil berusia satu serta tiga tahun yang memerlukan perbelanjaan membeli susu dan lampin pakai buang," katanya.

Katanya, dia masih berharap kerajaan dapat melunaskan bayaran ESH yang tertangguh tiga bulan lalu dibayar serentak.

"Kami kecewa dengan situasi yang menimpa sekarang. Kerajaan boleh guna pelbagai usaha lain untuk berjimat-cermat, tetapi jangan ambil duit bantuan nelayan," katanya.