JOHOR BAHRU - Sekiranya datang ke Johor Bahru, tidak lengkap jika tidak merasai keenakan bakso warung Boyan yang terletak di Jalan Pujaan, dekat Larkin.
Selain bakso, warung yang dibuka setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 11.30 malam ini juga menyajikan pelbagai sajian lain.
Antara sajian tersebut adalah rojak, soto nasi rawon, nasi ayam penyet, nasi berlauk, mie ayam serta sate.
Lebih istimewa, pengunjung yang biasa menikmati teh botol 'Sosro' di Indonesia, boleh mendapatkan minuman tersebut di warung ini.
Warung Boyan ini sememangnya sudah terkenal dalam kalangan masyarakat sekitar bandar raya Johor Bahru.
Sebut saja bakso kubur Cina
Difahamkan, warung ini juga mempunyai pelanggan tetap dari luar Johor termasuklah dari Lembah Klang khususnya Kuala Lumpur.
Sebut sahaja 'bakso kubur Cina', maka para pengunjung akan dibawa dan dipandu terus ke warung ini.
Malah taip sahaja di enjin carian atau gunakan aplikasi navigasi Waze, anda akan dibawa ke lokasi ini yang terletak berdekatan jirat atau kubur Cina.
Bagi pemiliknya, Rusdi Razak, 55, memberitahu warung yang diusahakan bersama keluarga itu telah dibuka sejak tahun 2006 lagi.
"Pada mulanya, kami berniaga dari rumah sahaja. Orang datang bungkus makanan, kemudian pulang. Itu pun seminggu sekali setiap hujung minggu.
"Lama kelamaan, kami buka warung. Alhamdulillah, sedikit demi sedikit berkembang sehingga ke hari ini," katanya kepada Sinar Harian di sini.
Rusdi berkata, warung tersebut sentiasa menerima kunjungan daripada orang ramai termasuklah dari luar bandar raya ini, dan Johor.
"Alhamdulillah, hampir setiap hari kami menerima kunjungan pelanggan. Ada yang datang untuk bersarapan pagi.
"Tidak kurang pula datang pada waktu tengah hari, petang dan malam. Ada juga yang datang pertama kali, dan kebiasaannya adalah pelanggan tetap dan biasa datang," katanya.
Ditanya mengapa warung tersebut juga dikenali sebagai warung kubur Cina, anaknya Norhayati Rusdi, 28, berkata, nama tersebut dipanggil oleh pelanggan.
"Warung ini terletak berdekatan kawasan kubur Cina. Jadi pelanggan yang meletakkan nama ini.
"Dan nama ini dibawa dari mulut ke mulut sehinggakan ia terkenal di laman sosial termasuklah Facebook," katanya.
Beliau berkata, meskipun lokasinya sedemikian, ia menjadi antara tarikan umum apabila mendengar atau mengetahui akan kewujudan warung tersebut.
"Biasa pelanggan kalau datang ke sini, mereka akan memesan bakso, sate dan ayam penyet. Ini adalah antara menu yang popular di kalangan pelanggan.
"Kebiasaannya, pelanggan yang datang akan kembali datang semula. Mereka akan datang membawa keluarga dan rakan untuk makan di sini," katanya.