ALHAMDULILLAH kerana anda yang sedang membaca tulisan ini mendapat kesempatan mendirikan puasa Ramadan. Kita yang diberi peluang oleh ALLAH SWT patut sangat menggunakan ia untuk menjadikan puasa tahun ini lebih baik dari tahun-tahun yang lalu. Mana tahu, inilah puasa terakhir kita.
Berpuasalah sebaik mungkin, tambah masa membaca al-Quran, bertarawih, berqiamullail, banyakkan berdoa, sentiasa berzikir dan berselawat. Ramadan adalah bulan kita jalani kehidupan berbeza daripada 11 bulan yang lain. Jika selama ini ada yang amalkan intermitten fasting untuk menjaga badan, jangan pula puasa Ramadan dijadikan masa untuk intermitten eating pula! Ramai dalam kalangan kita melebihkan belanja pada bulan Ramadan.
Jika tidak pun, kita akan membeli sesuatu yang kita tidak beli pada bulan-bulan lain, sekurang-kurangnya sekotak kurma. Oleh itu, marilah kita berbelanja bukan semata-mata untuk keperluan sendiri, sebaliknya atas sebab-sebab lain. Malah, bila betul niatnya, membeli pun boleh mendatangkan pahala.
Lazimnya kita membeli sesuatu semata-mata kerana kita berkendakkan barangan itu. Jika kita membeli pakaian, kita berbelanja untuk memakainya.
Bila kita membeli pakaian untuk diri, timbul pula persoalan, apakah kita ada baju belum lagi dipakai? Kerana itu buat apa membeli yang baharu? Bukankah itu juga membazir?
Tetapi semakin ramai membeli sesuatu dengan sebab lain. Pertama, kita membeli sebagai tanda sokongan kepada penjual. Seorang ahli kumpulan WhatsApp memaparkan imej makanan. Walaupun ia bukan makanan kita gemari, kita membeli juga kerana memberi sokongan kepada perniagaannya.
Belilah supaya perniagaannya semakin maju. Walaupun foto makanannya kelihatan cantik dengan karangan yang mengandungi ayat penuh bersemangat, itulah pendekatan orang menjual.
Dalam puluhan orang yang membaca, barangkali seorang dua sahaja membeli. Entah-entah untungnya tidak sampai RM50. Siapa tahu dia sujud syukur kerana kita membeli sekotak kuihnya kerana kita membantunya bersangka baik kepada ALLAH yang memberi rezeki. Belilah juga untuk bersedekah. Seorang mak cik yang menjual keropok dan kerepek di kaki lima bank bukannya tauke. Jika dia kaya, pasti keropok dan kerepeknya terjual di pasar raya. Bantulah mak cik itu dengan membeli dan sedekahkan makanan itu kepada orang lain.
Berbelanjalah juga untuk agama kita. Agama kita menyuruh kita membeli barangan yang elok, makanan halal lagi toyibban. Tahanlah sedikit tekak itu. Tidak semestinya selagi ada jenama baharu, semua hendak dicuba. Tidak kena bila melewati sesebuah kedai baharu, kita menilai kebersihan makan itu hanya berdasarkan dengan mengintai.
Bila kita nampak gadis bertudung menjadi pelayannya atau bila ternampak seseorang yang berkopiah sedang makan, kita terus singgah dan makan tanpa ragu-ragu kerana dalam hati sudah berkata, makanan itu tentu halal kerana ada orang Melayu di dalam restoran itu.
Pada bulan Ramadan ini, mari kita utamakan berbelanja dengan membeli produk keluaran Muslim. Bila kita ke pasar raya, kita boleh pindahkan berbelanja kepada produk-produk itu.
Benar, pengeluar produk itu sudah kaya kerana mampu mempamer barangan di pasar raya tetapi biarlah dia semakin kaya kerana bila dia ada keuntungan lebih, dia akan mengeluarkan zakat dan bersedekah. Jika kita berbelanja kepada produk yang semata-mata halal tetapi belum tentu pengeluarnya, kita mungkin hanya mendapat kenyang dan tidak semestinya memperoleh pahala memajukan bisnes orang Muslim.
Berbelanjalah untuk membantu. Kita sebagai orang yang kecil, ada peranan dan kudrat membantu dengan membeli sambil mendapat pahala kerana niat untuk menyokong, bersedekah dan untuk agama kita. Ia juga ibadah yang menjanjikan mata wang akhirat berganda-ganda pada bulan mulia ini.
*Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian