PORT DICKSON - Sempena hari pertama Ramadan, seorang peniaga menawarkan 100 bungkus nasi kambing berharga RM1 di gerainya di Bazar Ramadan Batu 4 di sini pada Selasa.
Tawaran harga tidak masuk akal itu dibuat pemiliknya Datu Rahmat Datu Abdul, 31, bagi berkongsi rezeki dengan pelanggannya selain memberi peluang kepada orang ramai untuk mencuba merasai keenakan nasi kambing dari kedainya 'Mat Nasi Kambing PD'.
Hanya dalam tempoh setengah jam, 100 bungkus nasi kambing terjual meskipun pelanggan terpaksa beratur panjang.
"Biasanya kami jual dengan harga RM15, tapi sepanjang Ramadan kami jual dengan harga RM12 di dua gerai kami di bazar Ramadan Batu 4 dan Taman Politeknik serta di Batu 6, Port Dickson.
"Tapi sempena kita menyambut hari pertama Ramadan, kami tawar harga murah gila iaitu RM1 yang saya rasa tak dapat tempat lain," katanya kepada Sinar Harian.
Walaupun ada sesetengah orang mungkin beranggapan tawaran harga RM1 itu langsung tidak memberi keuntungan, tetapi tidak kepada Datu Rahmat.
Baginya, apabila berkongsi rezeki dengan cara itu perniagaannya bertambah maju malah dia seronok melihat orang ramai berpeluang merasai nasi kambing air tangannya.
"Dah menjadi amalan saya setiap kali Ramadan untuk buat aktiviti sebegini. Ia satu kepuasan bagi saya dan saya yakin dengan rezeki Allah SWT.
"Ya lah, bukan semua orang mampu untuk beli nasi kambing. Tapi dengan harga RM1 semua orang boleh beli. Tapi jangan tersilap, tawaran ini hanya pada hari pertama Ramadan saja," katanya.
Mengulas lanjut, Datu Rahmat berkata, pada Ramadan tahun lalu dia memberi sebanyak 500 pinggan nasi kambing percuma kepada pelanggan yang datang ke kedainya.