NILAI - Polis meminta semua penganjur bazar Ramadan menyediakan pelan kecemasan bagi mengatasi masalah jika berlaku hujan terutama ketika ramai pengunjung.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, tinjauan mendapati masih ada penambahbaikan yang perlu dibuat oleh pihak penganjur.
"Pelan kecemasan penting dan nasihat telah diberikan kepada pihak penganjur untuk memperbaiki kelemahan bagi memastikan semuanya berjalan lancar," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, bagi memastikan semua bazar Ramadan mematuhi SOP yang ditetapkan, sepasukan pegawai dan anggota polis melakukan Ops Pemantauan SOP di sekitar Bandar Baru Nilai dan Putra Point Nilai yang menjadi salah satu kawasan tumpuan.
Tinjauan turut disertai Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintendan Mat Ghani Lateh.
Dalam pada itu Mohd Fazley memberitahu, polis berpuas hati dengan penyediaan kod pendaftaran MySejahtera, buku daftar, alat penyukat suhu dan cecair pembasmi kuman yang disediakan kerana menjadi antara syarat Majlis Keselamatan Negara.
Ujarnya, pematuhan SOP dan kerjasama semua pihak penting bagi memastikan rantaian penularan Covid-19 dapat diputuskan.
"Masyarakat perlu menghargai kebenaran membuka bazar Ramadan dengan mematuhi SOP sepenuhnya bagi mengelakkan penularan wabak virus itu di lokasi bazar Ramadan," katanya.