Enam teras strategik Belanjawan Johor 2019

Iklan
osman

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri Johor menggariskan enam teras strategik bagi memacu pembangunan menyeluruh negeri dalam merangka Belanjawan Johor 2019.

Enam teras tersebut adalah menjamin kesejahteraan rakyat; pembangunan lestari dan pemeliharaan sumber; pembangunan infrastruktur, penggerak zon perdagangan dan komuniti digital; demokrasi dinamik dan kesaksamaan sosial; memodenkan sistem pendidikan Islam, modal insan dan warisan budaya serta urus tadbir cekap, berintegriti dan demokratik.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, kesemua inisiatif terkandung dalam enam teras itu merupakan usaha dan iltizam kerajaan negeri yang bermatlamat menjamin pembangunan ekonomi yang mampan.

Menurutnya, ia bagi memastikan harapan rakyat untuk hidup dengan lebih sejahtera, bahagia dan makmur.

"Secara keseluruhannya, belanjawan kali ini merangkumi 28 sektor dan 207 titik fokus berdasarkan enam teras strategik.

"Ia hasil garapan daripada suara rakyat Johor dan juga Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2019 di Kota Iskandar di sini hari ini.

Osman berkata, kerajaan negeri mengambil kira maklum balas dari suara rakyat yang diperoleh menerusi bancian dijalankan di media sosial sejak Ogos lalu dalam merangka Belanjawan Johor 2019.

Katanya, secara keseluruhan, terdapat 3,193 maklum balas diterima menerusi google form dan e-mel.

"Antara perkara menjadi perhatian termasuklah aspek perumahan, pendidikan, kos sara hidup, peluang pekerjaan, kesihatan, keusahawanan, sistem pengangkutan awam serta pembangunan belia dan wanita.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang idea dan pemikiran yang bernas ini,” katanya.