Tuchel idam aksi final

Iklan
Thomas Tuchel

PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel tidak mahu mendabik dada selepas pasukannya berjaya mara ke saingan separuh akhir Liga Juara-Juara apabila menundukkan Porto 2-1 secara agregat pada aksi suku akhir pada awal pagi Rabu.

Menurutnya, peluang terbuka luas buat semua pasukan dengan Chelsea juga mampu untuk melakar kejutan mara ke perlawanan akhir sekiranya mampu memperagakan aksi terbaik.

Iklan
Iklan

"Kami berada dalam pertandingan dan dalam separuh akhir ia terbuka kepada mana-mana pasukan untuk melangkah ke perlawanan akhir. Dalam peringkat separuh akhir ini anda memerlukan pemain yang cergas, mempunyai momentum dan tuah dalam perlawanan.

"Namun, untuk mara ke peringkat separuh akhir bagi kami sudah menjadi satu pencapaian yang besar kerana sudah lama Chelsea tidak berada di peringkat ini. Apabila sudah ke tahap ini, sasaran saya sudah tentu untuk mara ke final," katanya.

Iklan

Dalam perlawanan pada awal pagi Rabu, Porto memenangi aksi timbal balik 1-0 di Stadium Ramon Sanchez-Pizjuan namun ia belum cukup untuk menafikan kemaraan The Blues yang sebelum ini telah menang 2-0 dalam aksi pertama minggu lalu.

Dalam pada itu, Tuchel tidak risau walaupun pasukannya dianggap paling muda berbanding pasukan lain dalam peringkat separuh akhir itu nanti.

Iklan

"Apabila anda melihat senarai penjaring minggu lepas, anda dapat melihat dua pemain kami Mason Mount dan Ben Chilwell yang menjaringkan gol pertama mereka dalam saingan Liga Juara-Juara.

"Apabila anda melihat pemain seperti Kylian Mbappe, Neymar, Karim Benzema atau Mohamed Salah, mereka telah menjaringkan 50 hingga 100 gol dalam kejohanan ini. Kami hadir dengan pasukan dibarisi pemain muda.

"Kami mahu tunjukkan bahawa pemain muda yang ada ini mampu bersaing. Saya percaya mereka boleh bersaing dan memberikan cabaran dalam saingan separuh akhir ini. Ia satu langkah besar di sini," katanya.