KOTA KINABALU - Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal dengan pendirian agar semua perkara atau tuntutan seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia (MA63) dapat ditunaikan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor mengutarakan perkara itu dalam Mesyuarat Majlis Khas mengenai MA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara maya pada Selasa.
Iklan
Iklan
Hajiji berkata, perbincangan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mengenai perkara ini sedang berjalan dan kedua-dua pihak komited untuk mencari penyelesaian.
"Perkara ini tidak perlu diperbesarkan kerana yang penting kita telah pun memberi pandangan dan pendirian kita, kerajaan Persekutuan juga telah memberi respon yang positif.
"Kita juga harus ambil kira bahawa Perdana Menteri telah secara terbuka memberi komitmen dan jaminan untuk menilai serta berusaha mencari penyelesaian kepada semua tuntutan yang kerajaan negeri kemukakan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.