SHAH ALAM - Statistik membuktikan pelaksanaan darurat dan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 di negara ini tidak berjaya mengawal penularan Covid-19 mahu pun mencapai sasaran penurunan kes kepada dua angka pada Mei depan, kata Datuk Seri Najib Razak.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, kadar kebolehjangkitan Covid-19 (Rt) naik kepada 1.09 pada Selasa berbanding paras neutral 1.00, sekali gus menggambarkan jumlah jangkitan baharu kini dalam trend menaik.
"Genap tiga bulan negara sudah melaksanakan darurat dan PKP 2.0 semalam (13 Januari hingga 13 April), apakah ia berkesan? Adakah pelaksanaan darurat berjaya menghentikan penularan Covid-19?” soalnya menerusi catatan di laman Facebook beliau pada Rabu.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah melakukan kesilapan besar apabila melaksanakan 'PKP separuh masak’ dengan memberi kelonggaran kepada kilang, pusat beli-belah dan kedai emas beroperasi ketika permulaan PKP 2.0.
"Akibatnya, kebenaran rentas negeri sempena Aidilfitri menjadi tanda tanya besar,” kata beliau.
Pada awal April, Najib pernah mencadangkan kepada kerajaan agar melaksanakan PKP ketat dalam tempoh singkat iaitu antara lima hingga tujuh hari sebelum rentas negeri dibenarkan bagi tujuan pulang ke kampung ketika Aidilfitri nanti.
Sementara itu, dalam catatan berasingan, Najib turut menyifatkan pelaksanaan darurat yang sudah memasuki tempoh tiga bulan juga gagal memulihkan ekonomi negara.
Sebaliknya, beliau berkata, darurat hanya berjaya menghalang beberapa perkara lain termasuk Parlimen untuk bersidang.
"Setelah dilaksanakan selama tiga bulan, darurat tak berjaya putuskan penularan Covid ke dua angka sehari menjelang hari raya dan tak berjaya pulihkan ekonomi.
"Tapi darurat telah berjaya halang Parlimen dari bersidang, menaikkan denda SOP (prosedur operasi standard) ke RM10,000 dan menggantungkan akta kewangan yang menghalang kerajaan daripada berbelanja sesuka hati tanpa dipantau atau diluluskan Parlimen," ujarnya.
Tambah beliau, darurat juga berjaya menangguhkan Undi 18 daripada dilaksanakan selewat-lewatnya Julai depan kepada September 2022 dengan alasan PKP telah melambatkan pelaksanaannya.
"Lalu, PM8 (Perdana Menteri ke-8) kata negara tak ada banyak wang lagi setelah berbelanja RM600 billion dan penjawat awam digalak potong gaji untuk bantu ekonomi negara," katanya.