SHAH ALAM - Tiada kenaikan harga barangan keperluan asas dikesan dalam tempoh dua hari sambutan Ramadan sejak Selasa.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar raya di sekitar Kota Kemuning pada Rabu mendapati harga barang mentah dan keperluan asas masih kekal serta tidak banyak perubahan.
Bagaimanapun, stok susu segar di beberapa buah pasar raya berkurangan sejak hari pertama Ramadan.
Surirumah, Salina Mahadi, 49, berkata, harga barangan keperluan harian yang dibeli tidak menunjukkan peningkatan dan sentiasa ada di pasar raya.
"Bagaimanapun, harga beberapa barangan mentah tidak konsisten seperti ikan selar dan makanan laut lain,” katanya.
Sementara itu, seorang pembeli yang mahu dikenali sebagai Fatimah berkata, dia masih boleh mendapatkan barangan mentah pada harga biasa seperti sebelum ini.
Menurutnya, bekalan bahan mentah di pasar raya juga sentiasa tersedia dan dia tidak perlu bimbang untuk mendapatkan barangan.
"Buat masa ni, harga semua harga seperti biasa. Barang pun selalu ada.
"Disebabkan semua stok barang ada saya tak perlu risau untuk dapatkan barangan mentah yang diperlukan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Dalam pada itu, pembeli lain yang ingin dikenali sebagai Wani berkata, dia tidak perlu mengamalkan pembelian panik kerana barangan keperluan asas yang diperlukan sentiasa ada di pasar raya.
Katanya, dia tidak perlu pergi ke tempat lain untuk mendapatkan barangan mentah kerana semua bahan keperluan ada di pasar raya berdekatan kawasan rumahnya.
"Setakat ini, semua barang ada dan tidak pernah putus bekalan,” katanya.