Liew terkejut keputusan Bersatu mahu tubuh cawangan di Sabah

Iklan
SABAH

KOTA KINABALU - Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew terkejut dengan keputusan Bersatu ingin mengembangkan sayapnya ke negeri ini.

Menurut beliau ini kerana ada persefahaman antara Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Mohd Shafie Apdal ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Iklan
Iklan

"Pada PRU Ke-14 lepas, mereka (Bersatu) tidak datang ke Sabah atas persefahaman menyerahkan kepada Warisan bersama PKR dan DAP.

"Tiba-tiba sekarang mahu datang ke negeri ini dan bekas ahli UMNO termasuk wakil rakyat akan menyertai Bersatu," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri jamuan makan malam bersempena sambutan Hari Tenggiling Sedunia di sini, malam tadi,

Iklan

Liew, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, bagaimanapun menyerahkan urusan lanjut keputusan itu kepada Mohd Shafie dan Dr Mahathir.

Liew berkata yang pasti Mohd Shafie memimpin kerajaan negeri dengan baik dalam mengukuhkan kewangan untuk melaksanakan pembangunan negeri ini.

Iklan

"Ia menerusi pakatan baik kerajaan negeri diterajui Warisan bersama bersama PKR, DAP dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO)," katanya.

Beliau berkata majoriti rakyat Sabah juga memberi sokongan terhadap kepimpinan Mohd Shafie.

Pada Jumaat lepas, Dr Mahathir menyatakan Bersatu bersetuju untuk menubuhkan cawangannya di Sabah bagi membolehkan bekas anggota UMNO Sabah menyertainya.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas anggota UMNO Sabah yang bertindak keluar parti tidak mahu menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) yang merupakan sekutu Pakatan Harapan. - Bernama