Pegawai, tiga anggota polis lakukan pemerasan ditahan

Iklan
Ayob Khan

JOHOR BAHRU - Empat anggota polis termasuk seorang pegawai kanan ditahan kerana disyaki terlibat dengan kes pemerasan terhadap seorang pengurus kilang perabot di Batu Pahat pada 8 April lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan mendapati pengurus kilang berusia 50 tahun itu telah diminta memberi wang sebanyak RM1,500 kepada anggota polis terbabit supaya tidak mengambil tindakan terhadap pekerja warga Bangladesh yang tidak mempunyai permit di kilang berkenaan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, katanya, pengurus kilang berkenaan tidak dapat menyediakan wang sebanyak itu dan meminta agar jumlahnya dikurangkan sebelum anggota terbabit bersetuju dengan wang sebanyak RM1,000.

"Pengurus kilang itu telah menyerahkan wang tersebut kepada pegawai dan anggota polis berkenaan sebelum mereka beredar dari lokasi kejadian tanpa mengambil sebarang tindakan terhadap pekerja warga Bangladesh itu.

Iklan

"Susulan laporan polis yang dibuat pengurus kilang itu, tangkapan dibuat terhadap pegawai kanan dan anggota polis terlibat berusia 26 hingga 46 tahun. Mereka ditahan reman pada 8 dan 9 April lalu mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

"Kertas siasatan berhubung kes ini sedang dikemas kini dengan pendakwa raya dan kemungkinan akan dituduh di mahkamah pada hujung minggu ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Rabu.

Iklan

Ayob Khan berkata, keempat-empat anggota polis terbabit dipercayai telah lama menjalankan kegiatan pemerasan dengan menjadikan kilang-kilang sebagai sasaran.

"Kesemua suspek ini menjalankan aktiviti mereka seperti membuat pungutan cukai pintu dengan pergi ke kilang-kilang untuk lakukan pemerasan. Bagaimanapun, kali ini mangsa telah buat laporan polis," katanya.

Ayob Khan juga menyeru masyarakat agar terus menyalurkan maklumat kepada beliau terhadap sebarang kegiatan jenayah di negeri ini.

"Kalau tuan-tuan buat laporan kepada ketua polis daerah, tetapi tidak diambil tindakan, saya akan ambil tindakan kepada ketua polis daerah itu," katanya.