JOHOR BAHRU - Polis Johor tidak menolak kemungkinan terdapat lebih ramai pegawai dan anggota yang bersekongkol dengan jenayah terancang Geng Nicky yang didalangi Pengasas Winner Dynasty Group, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Picthay berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan hasil siasatan forensik dan barang rampasan yang dilakukan sebelum ini.
Tegasnya, kesemua pegawai dan anggota berkenaan akan didakwa di mahkamah kerana terbabit dalam kumpulan jenayah terancang dan bukan lagi tindakan tatatertib.
Bagaimanapun katanya, senarai 34 anggota yang disyaki tidak akan didedahkan sebaliknya tangkapan dilakukan selepas siasatan selesai.
"Lebih ramai akan ditahan selepas siasatan. Polis masih lagi mengemaskini kertas siasatan.
"Apabila kertas siasatan lengkap, tangkapan akan dibuat di bawah jenayah terancang. Bagi saya itu paling tepat, mudah dan tegas," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: 14 termasuk dua adik Nicky didakwa terbabit jenayah terancang
Sindiket jenayah terancang Geng Nicky lumpuh
Dalang Geng Nicky lari bawa lapan beg berisi duit
Pada Selasa, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dilaporkan masih menunggu senarai nama pegawai dan anggota polis yang didakwa bersekongkol dengan Geng Nicky.
Pengarahnya, Datuk Zamri Yahya berkata, pihaknya memerlukan senarai itu daripada Polis Johor sebelum mengambil tindakan susulan.
Sebelum ini, media melaporkan kebocoran maklumat mengenai Operasi Pelican 3.0 yang dilaksanakan oleh Polis Kontinjen Johor mengenai serbuan di kawasan Setia Walk, Puchong menyebabkan suspek utama Nicky Liow melarikan diri.
Nicky Liow, 33, dipercayai mendapat maklumat mengenai operasi yang bakal dilakukan pada 20 Mac lalu itu daripada pegawai dan anggota polis serta agensi penguat kuasa lain yang berada dalam kawalannya termasuk seorang bekas Timbalan Pendakwa Raya.
Pada 30 Mac lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan terdapat 34 pegawai dan anggota agensi penguat kuasa termasuk polis terlibat dengan sindiket terbabit.